'Penat bersorak, kami nak minum air' - Utusan Malaysia

‘Penat bersorak, kami nak minum air’

AKTIVITI makan dan minum di dalam stadium masih tidak dibenarkan.- UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh 90 minit tanpa minum menjadi detik sukar buat penyokong-penyokong bola sepak tempatan yang hadir ke stadium pada aksi Piala Malaysia yang berlangsung dalam keadaan pandemik Covid-19.

Biarpun tidak beraksi di padang namun sorakan dan sokongan padu yang diberikan mereka kepada pasukan kegemaran masing-masing sepanjang perlawanan berlangsung sudah pasti mendatangkan kehausan.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan, kerajaan wajar membenarkan penyokong untuk minum ketika berada di dalam stadium ketika menyaksikan perlawanan bola sepak.

Tambah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu melihat perkara itu dari aspek kemanusiaan dan memberi kebenaran minum di dalam stadium tanpa berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Kalau tanya saya, amat wajar (beri kebenaran minum dalam stadium) kerana penyokong berada dalam stadium lebih dua jam termasuk waktu rehat dan mungkin mereka juga datang lebih awal sebelum sepak mula.

“Mekanisme boleh dilihat bagaimana stadium di luar negara lakukan dan menyusun atur SOP minum di dalam stadium. Kita perlu lihat dari aspek kemanusiaan.

“Mereka datang stadium untuk bersorak demi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing, jadi sudah tentu dahaga. Jadi memang ke minum sesuatu untuk hilangkan rasa dahaga itu,” katanya.

Mengikut rekod, kali terakhir stadium kembali bergema dengan sorakan penyokong apabila kerajaan membenarkan kehadiran penonton ke stadium pada awal April lalu, iaitu lebih setahun selepas Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan pada 16 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

Kebenaran diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membenarkan peminat bola sepak tempatan kembali ke stadium bermula 29 Oktober lalu menjadi perkhabaran gembira.

Bagaimanapun, aktiviti makan dan minum di dalam stadium masih tidak dibenarkan seperti diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini.

Mohd Sadek turut mencadangkan langkah yang mungkin boleh dilakukan, contohnya menyedia mesin penjualan air yang menggunakan cawan kertas di kawasan stadium.

“Mungkin apa yang MKN risaukan adalah orang berkumpul ramai atau bersesak untuk mendapatkan minuman, tapi kalau ada mekanisme yang betul dan tersusun saya rasa tiada masalah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.