Pemutihan data eKasih dilakukan tahun depan - Utusan Malaysia

Pemutihan data eKasih dilakukan tahun depan

MUSTAFA Mohamed menyampaikan ucapan pada majlis dialog bersama kepimpinan peneroka Felda Teloi Timur di pejabat Felda Teloi Timur, Sik, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Menteri Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed  mengarahkan Unit Penyelaras Pelaksanaan (ICU) melakukan pemutihan dan mengemas kini data eKasih di seluruh negara bermula tahun depan.

Beliau berkata, satu Unit Kemiskinan khusus ditubuhkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk melakukan pemutihan tersebut bagi memastikan agenda pembasmian kemiskinan tegar dapat dicapai pada 2025.

Menurutnya, kerajaan negeri juga dicadangkan supaya menubuhkan unit yang sama di peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pangkalan data eKasih terbaharu itu tepat.

“Jumlah penduduk di negara ini yang berstatus miskin dan miskin tegar yang direkodkan sehingga 22 Oktober lalu adalah seramai 506,669 keluarga.

“Daripada jumlah tersebut seramai 262,632 keluarga berstatus miskin tegar dan 244,037 keluarga lagi miskin.

“Sementara itu, penduduk di Kedah yang miskin tegas ialah seramai 18,414 keluarga dan miskin 14,292 keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke daerah Sik di Felda Teloi Timur di sini hari ini.

Mustapa memberitahu, kerja-kerja pemutihan itu dilaksanakan pada tahun hadapan selepas ekonomi negara kembali pulih berikutan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

“Pada masa sama, beberapa buah negeri pula masih belum beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” ujarnya.

Selain itu, menurutnya, kerajaan negeri bersama EPU dan ICU sedang mengenal pasti dua daerah termiskin di setiap negeri bagi melaksanakan program rintis membasmi kemiskinan tegar secara holistik berdasarkan data eKasih terbaharu.

Jelasnya, program tersebut juga akan melibatkan beberapa kementerian, badan berkanun, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), organisasi berasaskan komuniti (CBO) setempat dan syarikat swasta. 

“Sementara itu, daerah Sik dan Baling dicadangkan untuk projek rintis ini bagi negeri Kedah,” katanya.

Mustapa berkata, pada tahun 2022, Kedah telah diperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion bagi melaksanakan sebanyak 355 projek pembangunan.

“Kedah merupakan di antara enam negeri kurang maju yang diberikan tumpuan dalam Bajet 2022 dan RMK-12. Lima negeri lain ialah Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Perlis,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya