Pemimpin politik dari Semenanjung perlu patuhi SOP - Utusan Malaysia

Pemimpin politik dari Semenanjung perlu patuhi SOP

ABDUL Karim Rahman Hamzah (tiga dari kiri) bersama pegawai Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak serta pegawai dari International Music House Kuching menunjukkan poster Festival Muzik dan Seni Antarabanga Sarawak 2021 di Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pemimpin-pemimpin parti politik dari Semenanjung yang berhasrat datang ke kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan Undang-Undang Imigresen Sarawak.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan menghalang mana-mana pemimpin parti politik dari Semenanjung yang mahu datang berkempen pada PRN Sarawak nanti.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan mereka terlebih dahulu membuat pemeriksaan kesihatan dan datang hanya apabila benar-benar sihat serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Keselamatan Negara.

“Kita tidak mahu yang positif Covid-19 untuk datang ke sini (Sarawak), nanti mereka menjangkiti orang ramai di sini seperti yang pernah berlaku di Sabah semasa PRN Sabah sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama pegawai Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak serta pegawai dari International Music House Kuching sempena poster Festival Muzik dan Seni Antarabanga Sarawak 2021 yang dijangka berlangsung pada 20 dan 211 November ini di Kuching.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri berkata, Sarawak mempunyai undang-undang imigresennya sendiri untuk mengawal pengunjung bukan Sarawak yang hendak memasuki negeri ini.

Sementara itu ditanya mengenai peluang GPS memperoleh kemenangan besar dan pertambahan kerusi pada PRN akan datang, Abdul Karim berkata, gabungan parti-parti Sarawak itu sudah cukup bersedia dan yakin boleh mencapai kemenangan majoriti dua pertiga.

“Kita bukan mahu mendabik dada dan sombong tetapi keyakinan itu berdasarkan khidmat cemerlang GPS dalam mentadbir negeri ini dan pengundi tahu siapa calon dan parti mana yang lebih baik dan patut diundi,” katanya.

Menurut Abdul Karim, pemimpin-pemimpin GPS sentiasa menyantuni rakyat, bukan seperti parti pembangkang yang hanya muncul ketika pilihan raya, selain menabur janji-janji kosong.

Abdul Karim menambah, beliau dan GPS menghormati parti-parti tempatan (Sarawak) yang lain terutama Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dijangka mencalonkan tiga bekas Timbalan Menteri Kabinet Persekutuan dan beberapa penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Mengenai pengumuman Pas Sarawak yang menyatakan hasrat untuk tetap meletakkan calon-calonnya untuk bertanding pada PRN akan datang, Abdul Karim berkata, parti dari Semenanjung itu sepatutnya tidak perlu berbuat demikian sebagai menghormati GPS yang menyokong Kerajaan Pusat yang turut dianggotai Pas.

“Pas pernah bertanding dalam beberapa pilihan raya yang lepas di Sarawak dan kebanyakan calonnya hilang wang deposit, keputusan yang sangat jelas menunjukkan parti itu tidak disokong oleh rakyat Sarawak,” katanya.

Oleh itu, Abdul Karim menasihatkan pemimpin-pemimpin Pas untuk memikirkan semula hasratnya mahu meletakkan calon-calon parti itu bertanding pada PRN Sarawak akan datang.

Sementara itu, Abdul Karim turut menyelar sikap pemimpin-pemimpin parti pembangkang untuk tidak bersetuju PRN Sarawak diadakan tahun ini dan mahu ia diadakan tahun depan.

“Nanti kita lewat adakan pilihan raya mereka (pembangkang) juga yang akan marah dan buat kritikan. Mungkin parti-parti pembangkang ini belum bersedia berdepan pilihan raya,” tambahnya.

Sebelum ini pemimpin pembangkang terutama dari PSB dan DAP lantang bersuara menyelar Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta pemimpin-pemimpin GPS kerana memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat di negeri ini lebih awal untuk memberi laluan kepada PRN.

Mereka mendakwa tindakan mahu mengadakan PRN pada tahun ini bagi mengelak pengundi berusia 18 hingga 20 tahun ikut serta mengundi pada PRN itu nanti sekiranya ia diadakan pada tahun depan.

Sementara itu di Sibu, anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Wong Ching Yong mengesahkan parti itu akan meletakkan empat muka baharu dalam usaha merampas semula empat kerusi di Sibu yang dimenangi parti pembangkang pada PRN ke-11.

Ching Yong, seorang akauntan bertauliah adalah salah seorang daripada muka baharu berkenaan, manakala tiga lagi yang sudah dikenal pasti terdiri daripada golongan profesional.

Semalam Presiden SUPP, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian telah menyerahkan senarai nama calon parti itu kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Senarai itu terdiri daripada tujuh penyandang dan 13 muka baharu.

Katanya, mereka yang dicadangkan bertanding ialah Senator Robert Lau Hui Yew (Bawang Assan), Joseph Chieng (Bukit Assek), Michael Tiang (Pelawan) dan beliau sendiri (Dudong).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN