Pemandu rempuh kanak-kanak perempuan tiada permit van sekolah, van berwarna putih, bukannya kuning - Utusan Malaysia

Pemandu rempuh kanak-kanak perempuan tiada permit van sekolah, van berwarna putih, bukannya kuning

TANGKAP LAYAR rakaman CCTV kejadian kanak-kanak tujuh dilanggar van sekolah di Sepang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemandu yang terlibat merempuh kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang semalam dipercayai tidak mempunyai permit van sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, pihaknya turut memantau kes berkenaan bersama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu wanita berusia 31 tahun itu berkemungkinan tidak memiliki permit yang sah setakat ini.

“Ia berikutan kenderaan berkenaan berwarna putih dan bukannya kuning seperti yang sudah ditetapkan.

“Selain itu, van tersebut tidak tertera perkataan van sekolah sekali gus dipercayai tidak mempunyai permit yang dibenarkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Nur Alisha Safiya Mohd Azlin maut selepas dirempuh van dinaikinya di hadapan sebuah tadika di taman berkenaan.

Siasatan mendapati mangsa dikatakan turun dari van berkenaan dan berjalan di hadapan van sebelum dirempuh. 

Jelas Azman, polis sudah merekodkan keterangan pemandu berkenaan yang dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Kita akan melihat tindakan yang boleh diambil termasuk melibatkan permit sah van berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pemandu van sekolah supaya mematuhi peraturan ditetapkan dengan memiliki permit yang sah.

“Langkah itu wajib dipatuhi bagi mengelak kesulitan terutama ketika berlaku kes kemalangan maut.

“Selain itu, ibu bapa dinasihatkan memilih perkhidmatan van sekolah berdaftar dengan mengambil kira faktor keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN