[PARLIMEN] Subsidi haji perlu diberi secara bersasar, bukan umum - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Subsidi haji perlu diberi secara bersasar, bukan umum

MUJAHID YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Subsidi haji perlu diperuntukkan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja.

Dengan cara itu, menurut Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, langkah tersebut mampu mengurangkan beban kewangan Tabung Haji (TH) sekali gus cara dapat mengubah cara sekarang iaitu subsidi diberikan secara umum.

“Mekanisme bagi subsidi bersasar ini perlu diberikan supaya mereka yang memerlukan subsidi untuk melaksanakan haji ini ialah yang kurang berkemampuan, selain kita tidak mahu TH menanggung beban kerana semua mendapat subsidi.

“Isu kos haji meningkat ini tidak perlu dijadikan isu politik kerana ia akan menimbulkan kebimbangan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan menjangka kos menunaikan haji meningkat kepada lebih RM30,000, peningkatan sehingga 50 peratus berbanding RM23,000 sebelum ini.

Katanya, peningkatan itu disebabkan Cukai Nilai Tambah (VAT) diperkenal kerajaan Arab Saudi naik 15 peratus, berbanding lima peratus sebelumnya, selain penambahan kos bagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, susulan pandemik Covid-19.

Ketika ini, jemaah haji Malaysia hanya perlu membayar RM9,980 untuk mengerjakan ibadah, manakala bakinya ditanggung TH.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa Agama dan Rahmatan Lil Alamin Pakatan Harapan (PH) turut berkata, beliau pernah membawa isu subsidi haji ke Kabinet ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2019 berikutan kos subsidi yang tidak pernah dinilai sejak 2009.

“Kita sudah bentangkan dan buat mekanisme seperti jumlah pendapatan (bakal jemaah) dan simpanan dalam TH. Cuma Kabinet pada waktu itu menganggap, kita perlu buat perkara ini secara berperingkat dan memberi penerangan yang kos subsidi haji ini perlu dinilai semula.

“Kita sudah ada rancangan bagaimana mahu mendidik orang ramai bahawa kebergantungan kepada subsidi bagi mereka yang layak itu tidak wajar dan hanya diberikan kepada yang benar-benar memerlukan.

“Ini akan mengambil masa dan jika mahu tukar secara mendadak, memang ada kesan. Namun, hari ini peluang terbaik apabila isu pandemik Covid-19 berlaku,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN