KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penyewaan Kediaman (RTA) dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi persidangan suku ketiga tahun 2022.
Namun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu akan dibentang dalam Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) terlebih dahulu bagi memastikan RUU tersebut boleh dan sesuai dilaksanakan.
“Setelah dibentangkan di MNKT, draf RUU ini akan dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara bagi semakan terakhir sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ong Kian Ming (DAP-Bangi) meminta kerajaan menjelaskan, bilakah Akta Penyewaan Kediaman (Residential Tenancy Act) akan dikemukakan di Parlimen dan apakah proses ‘stakeholder consultation’ yang telah dan sedang dijalankan.
Tambah Reezal, selain daripada sesi libat urus yang komprehensif dengan pelbagai pihak berkepentingan, Regulatory Impact Assessment (RIA) akan turut dilaksanakan bersama pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia (Malaysia Productivity Corporation – MPC).
“Bagi mengenal pasti dan menilai kesan daripada cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) RTA, konsultasi awam yang menggunakan Portal Unified Public Consultation (UPC)
akan dijalankan untuk mendapat maklum balas terhadap cadangan akta ini.
“Pandangan daripada semua pihak berkepentingan dan yang berkaitan akan diambil kira untuk penambahbaikan RUU RTA,” katanya.
Jelas Reezal, cadangan penggubalan RUU RTA telah dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 23 Jun 2021 dan telah mendapat kelulusan prinsip untuk dibentangkan dalam sesi Parlimen.
Seterusnya, pihak kementerian sedang menyemak draf awal RUU RTA dan menyediakan dokumentasi bagi prosedur untuk melaksanakan RIA.