Pemberian insentif antara cadangan selesaikan isu harga baja, racun

[Parlimen] Pemberian insentif antara cadangan selesaikan isu harga baja, racun

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi atau insentif bersasar merupakan antara cadangan yang telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menyelesaikan isu kenaikan harga baja dan racun secara mendadak.

Di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (Bersatu) menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) mengenai langkah dan tindakan diambil bagi menangani isu kenaikan kos input yang menjejaskan pendapatan petani.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, cadangan yang dikemukakan memberi penekanan supaya kesan pelaksanaan mana-mana inisiatif, intervensi dan program akan memberi manfaat kepada rakyat secara berpanjangan.

“Antara cadangan sedang dipertimbangkan untuk menangani isu ini termasuk melalui pelaksanaan subsidi atau insentif bersasar kepada golongan petani terkesan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri itu.

Tambah Ronald, jawatankuasa itu telah mengenal pasti perubahan polisi negara pengeskport, kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik dan spekulasi pasaran menjadi punca lonjakan mendadak harga baja dan racun.

Menjawab soalan tambahan pula, Ronald berkata, penelitian perlu dilakukan selain dari aspek penerimaan daripada pihak berkepentingan bagi memastikan kebolehlaksanaannya.

Perkara itu, tambahnya, disusuli daripada rangkaan pelan jangka masa panjang kementerian yang membabitkan peralihan daripada penggunaan baja kimia kepada jenis lain, termasuk organik.

“Disebabkan kebergantungan kepada komponen luar yang sekarang ini tertakluk kepada perubahan harga secara mendadak, menyebabkan harga baja dikeluarkan di dalam negara meningkat melambung begitu tinggi.

“Langkah berterusan juga akan diambil untuk berbincang dengan pengeluar komponen baja di negara kita untuk turut mengambil langkah dalam menangani kesan terhadap kenaikan harga baja dan racun ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN