KUALA LUMPUR : Harga siling beras sedang dikaji untuk ditambah baik bagi membantu golongan pesawah yang terjejas.
Memahami akan keadaan tersebut, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, beberapa pertimbangan akan diambil kira memandangkan had siling harga beras ketika ini ditetapkan pada RM1,200 bagi setiap tan metrik.
“Industri sawah dan padi beras diberikan subsidi tinggi oleh kerajaan, iaitu kira-kira RM1.5 bilion setiap tahun. Dasar kerajaan ketika ini ialah harga siling beras ditetapkan tidak melebihi beras biasa.
“Kita tahu ramai golongan pesawah berada bawah golongan B40, dan kerajaan sedang melihat perkara ini.
“Namun, tentulah pertimbangan perlu diambil dan dibuat berdasarkan pendapatan pesawah serta kos pembelian beras yang terpaksa ditanggung rakyat keseluruhannya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Baharu) meminta kerajaan menjelaskan sama ada kerajaan bersedia menghapuskan harga siling beras.
Dalam pada itu, Ronald turut berkata, beberapa inisiatif sedang dan sudah dilaksanakan bagi menangani perubahan iklim yang memberi kesan terhadap sektor pertanian negara.
“Antaranya, memberi tumpuan kepada pembangunan dan penggunaan varieti tanaman yang tahan banjir atau kemarau, serta pembangunan varieti benih yang tahan air masin sekiranya berlaku sebarang kesan limpahan air laut ke kawasan penanaman padi.
“Kita turut mengaplikasikan penggunaan Peta Agricultural Rainfall Index (ARI) dan Peta Tanah untuk menentukan kesesuaian tanaman di suatu kawasan serta merancang sistem perparitan dan pengairan, selain meningkatkan kaedah penanaman berdasarkan panduan mengurus tanaman padi mengikut sasaran,” katanya bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik).- UTUSAN ONLINE










