Pakar 'tomyam' tunggu peluang lintas sempadan - Utusan Malaysia

Pakar ‘tomyam’ tunggu peluang lintas sempadan

AZHARI Nusi (kanan) memeriksa dokumen dikemukakan seorang pemandu yang melalui SJR di Rantau Panjang baru-baru ini. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi membuatkan ramai warga Thailand sudah tidak sabar kembali semula ke Malaysia untuk mencari rezeki termasuk golongan pakar masakan Thai seperti tomyam.

Difahamkan, ada antara mereka sanggup menyusup masuk ke negara ini melalui Kelantan secara haram, dengan ribuan lagi dikatakan sedang menunggu peluang, berikutan pintu masuk antarabangsa masih belum dibuka.

Warga Thailand mahu dikenali sebagai Mat Duey, 34, memberitahu Utusan Malaysia, penutupan sempadan Malaysia-Thailand menyebabkan dia hilang pekerjaan sebagai tukang masak di sebuah restoran di Cheras, Kuala Lumpur.

Kata Mat Duey, khidmat ‘pakar’ masakan ala-Thai seperti tomyam amat diperlukan di Malaysia ketika ini kerana kebanyakan mereka sudah pulang ke negara asal selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

“Bekas majikan saya merayu meminta saya kembali bekerja dengannya dan cari jalan untuk masuk ke negara ini. Sejujurnya upah ditawarkan lumayan iaitu hingga RM4,000 sebulan namun risiko masuk secara haram ini tinggi.

“Kawan beritahu, ada ‘cara’ masuk ikut Sungai Golok tapi kena bayar mahal hingga RM3,000 satu kepala. Fikir-fikir balik, jika tertangkap memang tidak berbaloi. Jadi sabar dululah,” kata pemuda berasal dari Narathiwat itu baru-baru ini.

 

 

Rondaan pasukan keselamatan di sempadan.

Seorang lagi warga Thailand mahu dikenali sebagai Wea Sanie, 40, berkata walaupun takut, dia nekad merancang untuk masuk ke Malaysia melalui Sungai Golok kerana terdesak memikirkan kantung yang semakin menipis.

“Saya balik ke Thailand kerana sangka Covid-19 ini tidak lama, namun telahan itu silap sampai sekarang belum reda. Kehidupan di Thailand sukar buat saya untuk mencari rezeki tidak seperti di Malaysia.

“Walaupun mata wang Baht agak tinggi berbanding Ringgit Malaysia, kadar upah yang saya dapat di Malaysia tetap lebih lumayan. Sebab itulah saya rela berkelana di Malaysia,” katanya.

Wea Sani yang bekerja di Malaysia sejak berusia 18 tahun bagi membantu meringankan beban keluarga memberitahu, perasaannya bercampur baur apabila membaca berita ada rakyat Thailand ditangkap kerana masuk ke Malaysia secara haram.

Mengikut rekod, dalam tempoh sebulan, 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di sempadan Malaysia-Thailand menerusi penugasan Op Benteng Covid-19 pada 16 September hingga 17 Oktober lalu.

Sepanjang tempoh penugasan PGA yang membabitkan kawasan sempadan bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Rantau Panjang, majoriti PATI ditangkap merupakan warga Myanmar, Thailand dan Bangladesh.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Superintendan Azhari Nusi berkata, hasil soal siasat dan maklumat, kebanyakkan PATI yang cuba masuk ke negara ini menggunakan khidmat ejen dengan caj RM3,000 hingga RM5,000 satu kepala.

Sekatan jalan raya turut diadakan.

“Bayar upah yang diberikan ejen ini kepada ‘transporter’ sekitar RM250 hingga RM500 satu kepala, bergantung kepada destinasi popular sekitar Lembah Klang, Cameron Highlands dan Johor.

“Biasanya migran ini diseludup masuk ke negara ini mengikut permintaan pasaran kerja seperti perusahaan, perladangan dan restoran. Bagaimanapun ada juga yang dibawa masuk bagi aktiviti pelacuran,” katanya.

Azhari turut memberitahu, aktiviti menyeludup PATI ini tidak mengira masa untuk masuk ke negara ini menggunakan pangkalan haram, namun tempoh paling aktif biasanya antara waktu Maghrib hingga Subuh dan bergantung pada keadaan cuaca. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya