HIMPUNAN Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) mengambil maklum dengan serius peningkatan ketegangan geopolitik yang melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran, serta potensi kesannya terhadap keselamatan, ekonomi dan kestabilan sosial Malaysia.
Negara kita tidak terlepas daripada risiko limpahan krisis, sama ada melalui harga tenaga, gangguan laluan perkapalan, ketidaktentuan kewangan, inflasi, risiko siber mahupun perpecahan sistem global.
Dalam situasi ketidaktentuan global, pendekatan keseluruhan masyarakat amat diperlukan. Malaysia perlu membina strategi ketahanan nasional dalam sektor tenaga, kewangan dan rantaian bekalan.
Sehubungan itu, HIKAM mencadangkan agar kerajaan melaksanakan langkah-langkah berikut:
- Memperkukuh rizab tenaga dan makanan sebagai persediaan menghadapi kejutan bekalan.
- Mengaktifkan diplomasi ekonomi melalui ASEAN bagi melindungi laluan perdagangan dan kestabilan mata wang.
- Menyediakan pelan komunikasi krisis kebangsaan bagi menangani maklumat palsu yang boleh mencetuskan ketegangan etnik atau agama.
- Membina daya ketahanan nasional yang anjal melalui pendekatan seluruh masyarakat, merangkumi aspek ekonomi, tenaga, keselamatan siber, infrastruktur kritikal dan kesiapsiagaan sosial.
- Mewujudkan polisi ekonomi daya tahan negara yang menekankan perbelanjaan berhemah dan kesederhanaan, serta mengelakkan segala jenis pembaziran, ketirisan akibat rasuah dan salah guna kuasa.
- Mengamalkan polisi subsidi yang bersasar bagi mengurangkan kesan ke atas golongan B40.
Rakyat Malaysia pula seharusnya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih tentang konflik. Bahkan, mereka perlu memperbanyakkan doa untuk keselamatan negara dan kesejahteraan sejagat dan mengukuhkan semangat kejiranan dan bantu-membantu, terutamanya bagi golongan yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.
Ketahanan nasional tidak hanya dibina melalui dasar kerajaan, tetapi juga melalui kepercayaan, perpaduan dan kesediaan di setiap peringkat masyarakat.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, HIKAM bersedia untuk memainkan peranan mengukuhkan perpaduan masyarakat dan pelaksana bantuan yang amanah, bertanggungjawab, serta diyakini segenap lapisan masyarakat
Semoga Malaysia dilindungi daripada fitnah dan bahaya. Kami menyeru semua pihak agar mengutamakan keamanan dan keadilan demi kesejahteraan bersama. Rakyat Malaysia perlu bersatu padu dalam menghadapi krisis global ini. – UTUSAN
HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA (HIKAM)










