BALING: Seorang operator kilang maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian tepi sebelah kanan hadapan sebuah lori dalam kemalangan di Kampung Sirako, Jalan Kampung Sirako-Tebing Tinggi, Kupang di sini petang tadi.
Kemalangan itu berlaku ketika mangsa, Muhaimin Mazelan, 21, dari Kampung Charok Kelian, Mukim Pulai di sini yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai hilang lalu merempuh sebuah lori jenis Hicom pada pukul 12.40 tengah hari.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat, berkata, motosikal yang memasuki laluan lori telah merempuh bahagian tepi sebelah kanan kenderaan tersebut.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang tidak memakai topi keledar mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Sementara itu, pemandu lori, Hafizan Mat Dahan, 35, dari Kampung Bersia Lama, Gerik, Perak dan kelidannya, Mohd. Rizarafa Zulkifli, 21, dari Kampung Padang Setar Tersat, Kuala Berang, Terengganu tidak mengalami sebarang kecederaan,’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Daerah Kulim untuk dibedah siasat.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.










