KEMENANGAN sudah pun berpihak kepada dirinya.
Dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular menerusi penganjuran kali ke-34 anugerah tersebut baru-baru ini, Janna Nick sepatutnya sudah boleh duduk bertenang sambil tersenyum mendakap trofi-trofi yang diraih.
Namun, nampaknya, keadaan seakan-akan tidak bersetuju untuk membenarkan dirinya ‘berehat’ sebentar daripada dirundung kontroversi.
Janna, tetap dihujani dengan kecaman dan kritikan walaupun menerusi kemenangan tempoh hari, ia sepatutnya mampu menutup segala tohmahan orang mengenai dirinya selama ini. Baik dari segi perangai, kerjaya mahupun sinarnya sebagai seorang anak seni.
Entah mengapa, di sebalik kesyukuran, wujud pula satu gelombang kebencian terhadap dirinya menyebabkan Pancaindera mendapatkan pandangan dan mendengar kisah daripada perspektif dirinya.
Berikut ialah bual bicara bersama pelakon berusia 26 tahun ini.
Janna sudah menang, tapi sedar atau tidak, situasi sekarang umpama peribahasa, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Apa kata Janna tentang hal ini?
Macam krisis rumah tangga pula bunyinya. Tak tahu nak cakap apa. Dah memang rezeki Allah SWT. Dah tertulis untuk saya. Jadi saya terimalah dengan hati terbuka. Orang nak komen apa pun, tak pastilah. Saya rasa malas nak fikir atau ambil pusing.
Banyak komen toksik dan mereka yang mengecam itu turut mengaitkan penyakit depresi Janna. Umpama Janna ini menjaja cerita itu.Rasanya, perkara sakit itu bukan menjaja. Saya rasa macam nak mendidik dan menerapkan kesedaran kepada orang ramai mengenai kesihatan mental ini. Patutnya lihat dari sudut positif bukan penuh kebencian. Kalau positif, mereka akan nampak mesej yang kita cuba kongsikan mewakili kelompok golongan seperti ini. Kalau kita tengok, stigma masyarakat terhadap kesihatan mental ini masih kuat. Saya nak cuba pecahkan stigma itu dan berharap orang ramai lebih terbukalah.
Ada anggap Janna macam pura-pura tentang soal depresi itu.
Saya tahu ramai anggap semua yang saya katakan itu lakonan. Ini bukan lakonan. Memang benda ini terjadi. Disahkan doktor, ada ubat-ubatannya, surat dan sebagainya.Bukannya untuk raih publisiti atau kontroversi.
Adakah Janna rasa kecaman itu tetap berlaku kerana sebelum ini pernah bergaduh dengan netizen dalam media sosial?
Hal itu semua orang tahu. Maksud saya tentang perbalahan dengan netizen atau rakyat Twitter sebelum ini. Saya faham tentang definisi toksik daripada mereka ini. Memang mereka ada kebencian mendalam terhadap saya. Kalau boleh tak nak ambil pusing dengan cakap-cakap mereka sebab yang bercakap itu memang membenci saya. Sebab mereka berdendam, penuh dengan geram.
Selepas itu saya pula meraih kemenangan, mereka akan rasa lagi tercabar. Jadi, tak guna saya bercakap banyak sebab ia hanya akan mengundang lebih banyak kebencian.
Terma ‘Janna seorang yang bermasalah dan tak layak diangkat sebagai pemenang anugerah bintang popular’. Tidakkah ia mengguris hati ?
Isu itu, kena lihat dari sudut lain. Kalau saya seorang artis bermasalah, tak akan ada orang nak tawarkan saya kerja lakonan. Orang tak akan selesa bekerja dengan saya. Tapi, sebelum apa-apa kontroversi datang melanda pun, saya memang sentiasa sudah disenangi ramai. Malah, bukan nak riak. Boleh dikatakan, tawaran kerja saya hampir penuh tahun depan.
Dari segi kontroversi, mungkin saya pernah bergaduh dengan netizen, memperlihatkan sisi kelantangan. Tapi dari sudut kerja, saya sangat berdisiplin dan senang bekerja dengan orang lain.
Yang panggil kerja itu daripada pelbagai pihak dan produksikah?
Orang yang bekerja dengan saya tak berhenti tawarkan peluang pekerjaan itu. Bila habis saja satu kerja, orang yang sama akan panggil saya kerja lagi. Ada juga pihak lain panggil, tapi mereka tak dapat-dapat juga saya sebab jadual padat. Orang yang sama nak panggil pun, adakala berbulan awal minta untuk kuncikan tarikh.
Kalaulah saya ini bermasalah dari segi perangai, dah tentu orang tak akan ambil saya bekerja. Sekarang ini, apa yang penting adalah disiplin dan cara kerja. Kontroversi datang tanpa diundang. Jadi kalau nak ukur berdasarkan kecaman orang yang tak pernah kenali saya secara peribadi, ia sungguh tidak adil.
Tapi Janna setujulah yang memang betul sekarang pengguna media sosial sangat bersifat toksik?
Saya memahami konsep itu sebab hidup di alam maya dan nyata adalah dua benda berbeza. Saya tidak bawa personaliti di alam maya ke dalam dunia nyata. Orang yang kenal saya ketika bekerja, mereka akan tahu saya orang yang sangat tegas dan disiplin.
Orang luar tak tahu kita kerja kuat macam mana, sampai tak ada masa dengan keluarga, berkorban untuk keluarga dan diri sendiri. Hanya berlandaskan kontroversi saja dinilai, itu tak adil.
Ibu Janna juga ada membuat luahan menerusi video di media sosial, menyatakan rasa bangga, terharu dan sedih pada masa sama dengan segala terjadi. Terharu tak bila keluarga sentiasa menyokong?
Selama ini, memang saya bekerja untuk keluarga. Niat saya, nak besarkan adik-beradik dan menyenangkan ibu dan keluarga. Kalau saya putus asa kerana kata-kata orang, tak wajar.
Mereka tidak bayar keperluan keluarga saya. Jadi, saya kena kuat dalam perjuangan ini. Tapi, saya cuba juga beri sedikit empati dan simpati kepada mereka yang kuat mengutuk dan mengecam itu. Bagi saya, orang begini, dia tiada kegembiraan dalam diri. Saya yang matang dan bijak, patutnya tahu untuk tidak terkesan dengan benda-benda begini.