SETIU: Murid tahun empat antara dua yang maut dalam nahas tiga kereta dan sebuah basikal elektrik di Jalan Bukit Putera di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 malam itu, mangsa, Muhammad Adif Danial Azman, 10, yang membonceng basikal elektrik di samping pejalan kaki, Azuka Muhamad, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Affandi Hussin berkata, nahas itu turut mengakibatkan penunggang basikal elektrik yang juga sepupu Muhammad Adif Danial, Ahmad Syahiran Saiful Razali, 13, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Setiu.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Myvi yang berusia 35 tahun itu tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh basikal elektrik dinaiki dua sepupu berkenaan serta Proton Wira yang diparkir di bahu jalan.
“Pelanggaran menyebabkan Proton Wira itu menggelongsor lalu terlanggar pejalan kaki hingga mangsa terpelanting ke atas Proton Persona yang diparkir di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Affandi berkata, pemandu Myvi yang bekerja sebagai buruh bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Sesyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.










