SHAH ALAM: Seorang pemandu sebuah van yang terlibat dalam kemalangan membabitkan seorang murid kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang di tahan polis malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shariat dalam satu kenyataan memaklumkan pemandu van ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pemandu van sekolah tersebut telah ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut memberitahu sebelum kejadian mangsa diambil oleh pemandu van berkenaan dari sebuah sekolah berhampiran dan di hantar ke pusat transit sebelum ke Sekolah Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van iaitu seorang wanita berusia 31 tahun yang baru selesai menurunkan penumpang, telah bergerak memandu ke hadapan.
“Tanpa menyedari telah melanggar salah seorang pelajar perempuan yang juga merupakan penumpang van tersebut. Mangsa pada ketika itu sedang melintas di hadapan van yang dipandu oleh pemandu wanita terbabit,” katanya.
Jelas Azman Shariat, susulan kejadian, mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Nilai Medical Centre akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Mangsa disahkan telah meninggal dunia pada jam 2.30 petang semalam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.










