SHAH ALAM: Pasangan kembar siam yang pernah mencuri tumpuan rakyat Malaysia kini sudah berjaya menggenggam segulung ijazah.
Biar pun terpaksa bergelut dan berkeringat dengan serba kekurangan seperti berkerusi roda dan berkaki palsu ketika di bangku sekolah, kemudian menyambung pelajaran pula di menara gading.
Namun, keringat itu menjadi satu usaha yang berbaloi apabila salah seorang pasangan kembar siam itu, Muhammad Rosli, 23 berjaya menggenggam segulung ijazah.
Muhammad, akhirnya bergelar seorang siswazah dalam satu istiadat konvokesyen Management & Science University (MSU) Selasa lalu bersama rakan-rakannya.
Menurut graduan dalam sains komputer itu, perasaannya bercampur baur ketika menerima sijil pada hari konvokesyen apabila terkenangkan kenangannya sepanjang pengajian dan juga ketika berada di bangku sekolah.
Terdahulu pasangan kembar Ahmad dan Muhammad pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001, kerana kedua-duanya dahulu dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha.
Mereka menjadi perhatian Kerajaan Arab Saudi sehingga Raja Abdullah mangkat pada 23 Januari 2015. Namun kali terakhir berhubung dengan baginda adalah pada 2007 apabila diundang ke sana untuk dihadiahkan kaki palsu bagi memudahkan pergi ke sekolah.
Sejak itu, pasangan kembar berusia 23 tahun itu sering menjadi perhatian apabila memasuki zaman persekolahan pada 2005 sehinggalah melanjutkan pengajian ke Management & Science University (MSU) pada 2016.