Mesyuarat bersama Malaysia-Australia capai banyak kemajuan hubungan - Utusan Malaysia

Mesyuarat bersama Malaysia-Australia capai banyak kemajuan hubungan

SAIFUDDIN Abdullah beramah mesra dengan Marise Payne sebelum mereka mempengerusikan mesyuarat bersama di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. – Ihsan Wisma Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan hubungan dengan Australia mencapai banyak kemajuan kerjasama dalam pelbagai bidang yang penting.

Ini diperkukuhkan hasil lawatan julung kali Menteri Luar Australia, Senator Marise Payne selama tiga hari bermula Jumaat lalu yang turut membuahkan banyak hasil faedah bersama.

“Kedua-dua menteri mengambil peluang pertemuan untuk mengukuhkan lagi persahabatan negara di sebalik impak wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan bersama di sini hari ini.

Ia susulan Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Malaysia-Australia (AFMM) Keempat di ibu negara pada Sabtu lalu yang dipengerusikan secara bersama dalam suasana harmoni.

Kenyataan itu juga mengulangi komitmen dua negara dalam hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa yang menyentuh kepentingan bersama untuk terus lebih dipereratkan lagi.

Antaranya Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP) dimeterai Januari lalu yang membawa kepada Pelan Tindakan dengan fokus tiga perkara utama termasuk kemakmuran ekonomi.

“Justeru, pelbagai perjanjian akan diperteguh menerusi Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN- Australia-New Zealand selain Perjanjian Dagangan Bebas Malaysia-Australia,” katanya.

Kesemua pemeteraian itu tepat masanya selaras usaha Perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik serta Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.

Dua menteri berkenaan juga sependapat dalam hubungan jangka panjang rakyat-ke-rakyat yang dibina puluhan tahun dan akan diperkasakan menerusi pelbagai program dirancang.

Ini menurut kenyataan itu meliputi memorandum persefahaman kerjasama sukan serta sektor pendidikan yang bakal diperluaskan dengan penglibatan bersama golongan belia dan wanita.

“Malaysia turut merakamkan penghargaan ke atas Australia menerusi pelbagai perkongsian kerjasama saintifik dalam penyelidikan vaksin dan inisiatif keselamatan kesihatan,” jelasnya.

Menyentuh soal pertahanan dan keselamatan serantau, kedua-dua menteri bersepakat dalam meneroka peluang Program Pertahanan Bersama merangkumi banyak perkara berfaedah.

Mesyuarat itu juga memperakui kepentingan Peraturan Pertahanan Lima Kuasa yang sudah pun berusia lebih 50 tahun selain komitmen isu kerjasama tradisional dan bukan tradisional.

Ia meliputi pengekangan pengganas, pelampau dan jenayah rentas sempadan melibatkan isu penyeludupan narkotik, pemerdagangan manusia serta aktiviti pengubahan wang haram.

“Kedua-dua menteri juga menyambut baik penubuhan dialog tahunan pegawai kanan polis Malaysia dan Australia serta persefahaman dalam jenayah siber,” tambah kenyataan itu.

Sementara isu kerjasama serantau dan global, Australia memberi jaminan pelaburan A$154 juta dalam Inisiatif Masa Depan ASEAN selain program biasiswa dan ekonomi kitaran.

Mereka berdua juga mengulangi keazaman mempertahankan rantau ini sebagai wilayah aman, berkecuali dan bebas senjata nuklear bagi mengelak berlaku konflik ketenteraan.

Saifuddin dan Payne menerusi kenyataan bersama itu turut menzahirkan komitmen untuk membina semula rantau ini pasca Covid-19 yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya