fbpx

26 Jun 2022, 1:21 pm

  TERKINI

Merungkai misteri kewujudan bigfoot

HUTAN Mukim Ulu Sedili yang didakwa menjadi lokasi seorang penduduk terserempak dengan Bigfoot di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Meskipun ada penduduk mendakwa pernah melihat kelibat Bigfoot di beberapa lokasi di negeri ini, namun kebenaran akan wujudnya haiwan itu masih sukar untuk dibuktikan sehingga sekarang.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Datuk Salim Aman berkata, pihaknya sendiri pernah melakukan ekspedisi untuk mengesan haiwan itu namun gagal menjumpai apa-apa petunjuk.

SALIM AMAN

“Pada pandangan saya, selagi tidak jumpa agak sukar untuk kita percaya kewujudan Bigfoot. Saya dimaklumkan sekitar tahun 2010 Jabatan Perhutanan Johor pernah adakan ekspedisi di Hutan Simpan Panti melibatkan pelbagai agensi untuk mengesan Bigfoot sebagaimana aduan namun tiada sebarang penemuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan kisah Bigfoot yang menggemparkan negara kira-kira 20 tahun lalu di Johor masih dianggap wujud dalam kalangan penduduk Kampung Mawai, di sini terutama yang mendakwa pernah terserempak dengan haiwan tersebut.

Walaupun kewujudannya dianggap mitos, ramai penduduk mempercayai kewujudan haiwan terbabit yang sehingga kini belum dapat dibuktikan secara nyata melainkan sekadar dakwaan.

Sementara itu, Salim berkata, beliau juga tidak menafikan sekiranya penduduk terdahulu pernah menjumpai haiwan terbabit namun ia bukanlah Bigfoot sebaliknya Mawas atau sejenis beruk yang bersaiz besar.

Katanya, tambahan pula kawasan Hutan Simpan Panti yang terletak berhampiran Kampung Mawai berkeluasan agak besar dan menghubungkan dengan Hutan Ulu Sedili dan terus ke Kluang.

“Melihat kepada gambar fail penemuan pada tahun 2007 itu jika benar-benar wujud Bigfoot ini, kesan tapak kakinya mestilah wujud kedua-dua belah atau ada tapak lain dan bukan sebelah tapak kaki sahaja.

“Namun, Jabatan Perhutanan komited untuk kekalkan habitat hutan yang ada. Kita akan berusaha mengekalkan hutan simpan yang ada bukan sekadar untuk ‘Bigfoot’ sahaja tetapi untuk binatang lain juga seperti gajah dan harimau. Kita akan cuba menguruskan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, isu Bigfoot sudah lama dibincangkan sejak tahun 2005 sehingga tahun lalu di dan isu haiwan itu terus dibincangkan sebagai cerita dalam negara dan antarabangsa.

 

 

AHMAD ISMAIL

Katanya, kisah Bigfoot tersebut bukan sahaja di Johor tetapi juga didakwa terdapat di hutan negeri lain termasuk Negeri Sembilan, namun isu berkenaan akan kekal misteri sehingga jawapan sebenar dapat dibuktikan secara saintifik.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang tinggi kepelbagaian biologi semestinya perlu merungkai misteri ini. Dengan teknologi terkini dan ilmu terbaharu dalam bidang tersebut seperti genetik, ekologi dan sistematik sudah tentu dapat menyelesaikan misteri yang dibincangkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak lebih 15 tahun dahulu.

“Tambahan lagi kawasan yang dilaporkan tentang Bigfoot ini berada dalam kawasan penting pemuliharaan kebangsaan seperti Hutan Simpan Endau-Rompin dan Panti di Johor. Projek dan peruntukan khas untuk mencari Bigfoot ini perlu disegerakan disamping memperkasakan data kepelbagaian biologi negara,” katanya.

Tambah Ahmad, memandangkan isu Bigfoot sudah menjadi perhatian antarabangsa, seharusnya sudah mencapai satu tahap penyelesaian dari segi misteri, mitos atau saintifik yang kelak boleh menjadi satu tarikan kepada pelancongan negara.-UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI