ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan terus ‘pulun’ untuk mendapatkan tuntutan pelbagai bayaran daripada Kerajaan Persekutuan dan Pulau Pinang walaupun tidak dipersetujui banyak pihak.
Beliau berkata, tuntutan tersebut dibuat bukan atas kepentingan dirinya sendiri sebaliknya ia bakal dimanfaat seluruh rakyat serta demi masa depan Kedah.
Menurutnya, beliau akan terus membangkitkan tuntutan bayaran tersebut dalam pertemuan bersama Kementerian Kewangan yang menolak permohonan tersebut.
“Saya anggap jika hak saya, saya akan tuntut hingga nyawa terkorban, ini cara saya,” katanya ketika sesi penggulungan Bajet 2022 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri telah mendapat surat balasan Kementerian Kewangan memaklumkan tidak dapat mempertimbang permohonan Kedah mendapatkan bayaran mengekalkan tanaman padi berjumlah RM111 juta.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga membuat tuntutan mengekalkan hutan simpan sebanyak RM100 juta dan bayaran air mentah daripada kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM50 juta.
“Saya akan bangkitkan lagi perkara ini dalam pertemuan bersama Kementerian Kewangan sehingga mereka jemu dan mungkin akan bayar pada Kedah,” jelasnya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi antaranya menuntut bayaran pajakan Pulau Pinang berjumlah RM100 juta, selain turut meminta negeri itu membayar caj pengambilan air mentah Sungai Muda.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Kedah dahulu hanya dibayar wang pajakan Pulau Pinang berjumlah RM10,000 setahun, namun jumlah itu ditambah kepada RM10 juta setahun oleh Kerajaan Persekutuan pada 2018.
“Ketika ini kita sedang berusaha agar bayaran pajakan itu dibuat mengikut penilaian semasa dan jumlah yang dianggap wajar adalah RM100 juta.
“Saya bukan tuntut semua ini untuk saya, semua yang saya minta daripada Kerajaan Persekutuan dan Pulau Pinang ini adalah hak serta untuk rakyat Kedah. Saya bukan suka cari gaduh, tetapi saya berani ‘pulun’ bagi mendapatkannya,” katanya.










