Menteri Agama dedah rahsia suara garau ala iklan - Utusan Malaysia

Menteri Agama dedah rahsia suara garau ala iklan

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bagi sesiapa yang pernah mengikuti ucapan Idris Ahmad, mungkin akan mengagumi intonasi gaya ucapan beliau kerana bersuara garau, cukup jelas dan agak lantang.

Malah, cara beliau berucap sama ada menerusi acara rasmi kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sesi bahas di Parlimen atau kegiatan politik memang dipuji wartawan.

Rahsia ‘suara emas’ itu akhirnya didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini ketika merasmikan program yang dianjurkan agensinya itu di sini malam tadi.

“Saya dulu pun semasa zaman remaja bukannya pandai bercakap, tetapi ia berubah ketika diajak rakan menjadi pembahas mewakili kelas untuk debat Piala Perdana Menteri,” jelasnya.

Program tahunan pertandingan bahas ala Parlimen itu disertai pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) Klang, Selangor ketika beliau pernah belajar peringkat menengah atas di situ.

Beliau terdahulu mengimbau era di Maktab Mahmud, sebuah sekolah agama ternama di Alor Setar, Kedah ketika menuntut peringkat menengah rendah yang turut ada acara sedemikian.

Dari situ, beliau belajar dalam pertandingan muhadharah atau bersyarah pengucapan umum mengenai pelbagai topik agama yang dianjurkan pihak sekolah bagi melahirkan pendakwah.

Bagaimanapun, bakat itu digilap ketika melanjutkan pengajian ke tingkatan empat di KISAS, sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) terkenal tanah air yang diasaskan sejak 1955.

“Masa di sini, ada seorang guru yang juga jurulatih debat mula menyedari suara saya macam iklan komersial dan asah cara penyampaian untuk lebih berkesan tarik pendengar,” katanya.

Idris, 58, yang baru mempertahankan jawatan Naib Presiden Pas pada pemilihan parti tersebut minggu lalu namun mengakui, beliau sendiri tidak pandai berucap di depan khalayak awam.

Justeru, beliau menyeru pendidik KAFA dan sekolah menengah agama di seluruh Malaysia agar gigih mengesan bakat terpendam pelajar yang mungkin malu tetapi ada potensi besar.

Dalam nada nasihat, beliau menyentuh isu kekurangan penceramah Muslimah yang mampu menjadi pendakwah kerana kurang ‘dicungkil’ guru atau tidak diberi peluang sebaik mungkin.

Bakat itu perlu dilatih sentiasa walaupun beliau berasal dari keluarga yang mementingkan pengajian agama hasil asuhan bapa mereka, tokoh Islam terkenal di Kampung Petai, Perak.

“Saya teringat ramai rakan saya hebat berpidato semasa zaman SBP dan di universiti tetapi kemudian terus ‘senyap’ tidak mengembangkan bakat mereka selepas habis belajar,” katanya.

Beliau merujuk kisah abang-abangnya sendiri petah berucap antaranya bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad dan pensyarah universiti tempatan, Datuk Salleh Ahmad.

Idris berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Kebangsaan dan Sekolah Menengah Agama Malaysia 2021 di sini.

Pada majlis tersebut, Selangor diisytiharkan juara keseluruhan untuk kategori sekolah menengah agama, manakala Perak pula menjadi johan bagi peringkat KAFA sekolah rendah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN