Hafiz Hashim berhijrah ke Arab Saudi

Hafiz Hashim berhijrah ke Arab Saudi

Muhammad Hafiz Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemain badminton perseorangan Malaysia, Muhammad Hafiz Hashim bakal memulakan tugas baharunya bersama skuad kebangsaan Arab Saudi sebagai jurulatih berprestasi tinggi, bulan ini.

Hafiz berkata, pada ketika ini, dia masih menunggu permohonan visa dan permit bertugas di negara tersebut diluluskan.

“Sebaik semuanya selesai, saya akan terbang ke sana, insya-Allah kalau ada rezeki, mungkin saya akan bermula bulan lapan ini, saya akan melatih pasukan kebangsaan Arab Saudi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sebelum ini, bekas juara All England itu bertugas sebagai jurulatih bersama Akademi Badminton Suchitra di Hyderabad, India sejak Februari 2023 dan kontraknya bersama kelab tersebut telah berakhir, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengapa memilih Arab Saudi, Hafiz berkata, dia amat gemarkan cabaran dan berminat dengan tugas-tugas pembangunan atlet.

“Saya sukakan cabaran seperti ini dan rezeki saya juga ke arah ini, jadi, kalau ada tawaran saya terima sahaja.

“Saudi merupakan salah sebuah negara yang masih belum bagus dalam badminton, sukan badminton ini tidak popular di sana, tetapi, mereka ada pasukan,” katanya.

Menurut Hafiz, seperti negara-negara Arab yang lain, Arab Saudi sekadar beraksi di dalam kejohanan kecil dan baru sekarang mereka berminat untuk membangunkan sukan badminton.

“Jadi, saya sukakan cabaran baharu, kalau melatih mereka sebagai contoh kita dapat melihat kemajuan sedikit demi sedikit, bagi saya ia satu kejayaan besar,” katanya.

Selepas kontraknya tamat, Hafiz pernah dikaitkan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang sedang mencari seorang lagi jurulatih perseorangan berikutan Jeffer Rosobin dari Indonesia meninggalkan skuad kebangsaan dan dia dilihat sebagai calon yang ideal mengisi posisi tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN