JOHOR BAHRU: Seorang bapa tunggal yang juga orang kurang upaya (OKU) tabah membesarkan dua anak lelakinya dalam keadaan serba kekurangan di sebuah rumah kecil di Taman Datuk Penggawa Barat di sini.
Ahmad Kamal Kadir, 58, yang diserang strok separuh badan lapan tahun lalu terus diuji apabila kesemua jari kaki kanan terpaksa dipotong, akibat jangkitan kuman pada akhir tahun lalu sehingga menyebabkan pergerakannya tidak stabil.
“Saya akui kehidupan kini bukan lagi sebagai orang senang, sebelum ini saya seorang kontraktor dan mempunyai kehidupan selesa, namun kini saya diuji Allah. Saya bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain sumbangan kenalan untuk membayar sewa rumah dan membeli barangan keperluan.
“Memang saya kerap ikat perut, kerana ketika ini keutamaan ialah anak-anak iaitu Ahmad Faiz dan Ahmad Daniel Hafiz Al Siddiq,” katanya.
Dia ditemui selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash & Carry, Mas Imran Adam dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang, Faridah Mustafa yang menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan.
Walaupun serba kekurangan, Ahmad Kamal tetap bersyukur kerana kedua-dua anaknya yang berusia 10 dan sembilan tahun itu seolah-olah memahami kesukaran hidup dihadapi mereka.
“Banyak keperluan termasuk kelengkapan sekolah saya tidak mampu sempurnakan, namun saya bersyukur mereka memahami keadaan saya.
“Isteri saya warga Indonesia, dia sudah meninggalkan kami akibat masalah keluarga dan kami sudah terputus hubungan sejak tujuh tahun lalu. Saya masih berusaha untuk mengesannya bagi urusan berkaitan permohonan sijil lahir anak bongsu, namun tiada sebarang maklumat,” katanya
Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 101132413218 atas nama Ahmad Kamal Kadir. – UTUSAN










