PETALING JAYA: Ketika Singapura dan Thailand memperagakan taring baharu dalam acara 3 meter papan anjal lelaki, Malaysia pula terus hanyut dibawa arus perubahan yang gagal dikejar.
Keputusan menamatkan pusingan kelayakan di tangga ke-53 dan 54 oleh Muhammad Syafiq Puteh (310.55 mata) serta Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim (303.55 mata) Khamis lalu bukan sahaja mengejutkan, tetapi memalukan bagi negara yang pernah dianggap jaguh dunia.
Dalam kalangan 65 peserta, kedua-dua penerjun negara bukan sahaja gagal ke separuh akhir, malah dicabar hebat oleh pendatang baharu rantau ini yang pernah menjadi pasukan belasahan satu ketika dahulu.
Penerjun Thailand, Chawanwat Juntaphadawon, menduduki tempat ke-29 dengan 357.00 mata manakala wakil Singapura, Avvir Tham, tampil cemerlang di kedudukan ke-22 dengan 363.90 mata, lebih 50 mata meninggalkan Malaysia.
Lebih memilukan, Avvir dan Max Lee bukan nama gah dalam arena terjun dunia, namun tetap berjaya mendahului Syafiq yang berstatus juara Sukan SEA dan Nurqayyum, pemenang gangsa remaja dunia.
Pengarah teknikal terjun negara , Yeoh Ken Nee, cuba meredakan keadaan dengan menyalahkan faktor menunggu terlalu lama sebelum giliran terjun, tetapi hakikatnya kegagalan ini jauh lebih mendalam daripada sekadar isu teknikal.
“Mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam kejohanan ini. Masa menunggu untuk giliran mereka lebih lama daripada biasa yang boleh merencatkan momentum mereka.
“Saya boleh terima Nurqayyum berprestasi seperti ini kerana ini kejohanan dunia pertama, namun Syafiq selaki senior, persembahannya amat teruk kali ini,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.
Syafiq yang sepatutnya menjadi tonggak pasukan kini dilihat tidak lagi mampu menggalas beban sebagai penerjun utama, apatah lagi untuk menjadi inspirasi buat generasi baharu.
Sekali lagi, ketiadaan sistem pembangunan menyeluruh dan kehilangan bimbingan tokoh seperti Bryan Nickson Lomas serta Wendy Ng mula menampakkan harga mahal yang terpaksa dibayar.
Ketika negara jiran sudah berani bermimpi podium dunia, Malaysia pula masih sibuk mencari alasan, bukannya mencari jalan. – UTUSAN










