fbpx

Melaka mahu ukir nama ke final 

PEMAIN Melaka United meraikan jaringan dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia ketika menentang KL City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin lalu.- UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka United hanya memerlukan satu langkah lagi untuk melakar sejarah tersendiri berada di pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak Piala HMS Malaya mula diperkenalkan pada 1921.

Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan berkata, peluang tersebut tidak harus disia-siakan oleh anak-anak buahnya yang bakal berdepan Kuala Lumpur (KL) City dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat, esok.

Menurutnya, bermain di tempat sendiri serta di hadapan penyokong selain jaringan di tempat lawan adalah kelebihan buat MU yang mesti menewaskan KL City untuk menempah tempat ke perlawanan akhir.

“Laluan penuh berliku dilalui Melaka dan nyaris-nyaris tersisih ke Piala Malaysia. Kini kita sudah menghampiri ke pentas final, kelebihan yang ada harus digunakan sebaik mungkin untuk menewaskan KL City. 

“Bagi saya perlawanan Jumaat ini ibarat final, ini amat penting buat barisan pemain menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri di hadapan penyokong setia bagi membantu skuad Sang Kancil mara ke final buat pertama kali.

“Kita turun bukan untuk seri sekali lagi walaupun ada kelebihan jaringan di tempat lawan tetapi kita turun adalah untuk menang bergaya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sewaktu menjalani latihan di Stadium Hang Tuah di sini.

KL City dan Melaka masing-masing terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin lalu.

Tambah Zainal, momentum pemain kini berada pada tahap yang cukup baik dan ia harus dikekalkan seperti aksi separuh akhir pertama tempoh hari.

“Saya harap jentera serangan melalui Giovane Gomes, Adriano Narcizo, Sony Norde dan Manuel Ott mampu menemui sentuhan jaringan. Jangan sia-sia peluang terhidang jika tidak peluang kita ke final tinggal kenangan,” ujarnya.

Paling melegakan buat Zainal apabila mendapat khabar gembira tidak ada seorang pemain utamanya ditimpa kecederaan serius dan barisan yang sama dijangka bakal diturunkan berdepan KL City.

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI