TEMERLOH: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang pengasuh bertindak kasar terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Mentakab, di sini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, pihaknya mengesan hantaran dalam media sosial berhubung kejadian itu semalam dan turut menerima laporan kira-kira pukul 6 petang hari sama daripada seorang wanita Melayu berusia 29 tahun yang juga ibu kepada mangsa.
“Pengadu memaklumkan anak perempuannya yang berusia dua tahun dan dihantar ke sebuah pusat asuhan di daerah Temerloh, menerima layanan kasar daripada pengasuh terbabit. Kejadian berkenaan dipercayai berlaku di sebuah taska di Mentakab,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Nasyim berkata, susulan laporan tersebut, polis membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN










