MCA dekati pengundi muda, fokus sampaikan maklumat tepat

MCA dekati pengundi muda, fokus sampaikan maklumat tepat

MAH HANG SOON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: MCA akan mengguna pakai strategi mendekati golongan sasaran khususnya pengundi muda bagi memastikan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) tidak terhakis menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, pengundi 18 tahun adalah golongan penting yang perlu diberi perhatian kerana mereka bakal mengundi untuk kali pertama, sekiranya PRU-15 diadakan pada tahun hadapan.

Katanya, maklumat sahih perlu disampaikan kepada golongan itu bagi memastikan mereka tidak mendapat info tidak benar daripada pihak lain.

“Golongan Undi18 khususnya 18 hingga 21 tahun sangat penting dan perlu diberi perhatian khusus kerana tahun hadapan mereka akan menjadi pengundi baharu secara automatik. Mereka ini tidak pernah mengundi, jadi kita tidak tahu corak undian mereka bagaimana.

“Apa yang penting adalah dari segi maklumat, kita perlu sampaikan kepada mereka untuk pastikan mereka terima maklumat benar dan bukan daripada sumber lain,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA di Wisma MCA, di sini hari ini.

Menurut Hang Soon yang juga Pengerusi MCA Perak, beliau yakin dengan penjelasan dan maklumat tepat, golongan itu akan memberi sokongan kepada BN.

Katanya, kegagalan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh 22 bulan patut dijadikan pengajaran kerana negara berdepan keadaan politik tidak stabil.

“Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini adalah petunjuk jelas bahawa rakyat inginkan kestabilan negara seperti sebelum PRU-14. Jentera MCA sendiri sentiasa turun padang di mana kerja politik berjalan tidak kira masa. Tugas kita bukan hanya semasa pilihan raya tetapi berterusan selepas itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN