Malaysia hab pelancongan kesihatan terbaik 2025 - Utusan Malaysia

Malaysia hab pelancongan kesihatan terbaik 2025

KHAIRY Jamaluddin pada majlis Pelancaran Pelan tindakan Industri Pelancongan 2021-2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Pelan Tindakan Industri Pelancongan Kesihatan 2021- 2025 yang dilancarkan hari ini membantu menyediakan Malaysia ke arah hab pelancongan kesihatan terbaik dunia menjelang 2025.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pelan tindakan itu juga menyediakan panduan jelas kepada rantaian nilai dan industri penjagaan kesihatan negara.

Beliau berkata, pelan tindakan ini merangkumi lima pendekatan berbeza dan berpaksikan kepada tiga tonggak strategik iaitu ekosistem perjalanan penjagaan kesihatan, jenama penjagaan kesihatan Malaysia dan pasaran.

“Menerusi pelan tindakan ini, kerajaan akan berkongsi pengalaman baharu dengan pelancong kesihatan menerusi pendekatan bersepadu dan kerjasama pendigitalan khususnya bagi Hab Kardiologi dan Kesuburan serta Pusat Kecemerlangan Rawatan Kanser.

“Sejak 10 tahun lalu, industri pelancongan kesihatan negara meraih pelbagai pengiktirafan di rantau ini.

“Malah, sejak Julai tahun lalu, negara membuktikan keupayaan dalam jaminan penjagaan kesihatan bagi membolehkan pembukaan semula sempadan yang selamat dan terkawal.

“Ia berjaya dilakukan hasil kerjasama erat antara Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen (JIM) dan Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC),” katanya ketika berucap melancarkan pelan tindakan itu secara maya, hari ini.

Katanya, pelan tindakan ini juga dirangka seiring dengan perkembangan sektor kesihatan yang kini berkembang pesat sejak pandemik Covid-19 iaitu tumpuan utama ke arah penyediaan kualiti rawatan dan pengalaman terbaik kepada pesakit.

Pada masa sama, Khairy berkata, pelan tindakan ini juga penting sebagai persediaan negara untuk mewujudkan sebuah Hospital Pelancongan Perubatan pertama di negara ini.

“Saya menyeru kepada pihak industri supaya dapat menjalinkan kerjasama kesihatan dengan negara luar bagi meningkatkan tahap kesediaan negara dalam menawarkan pengalaman pelancongan kesihatan terbaik dunia,” katanya.

Selain itu, Khairy berkata, pada 2019, lebih 1.22 juta pelancong penjagaan kesihatan memilih Malaysia sebagai destinasi mereka membolehkan negara menjana pendapatan hampir RM1.7 bilion.

“Bagaimanapun, pendapatan itu menurun kepada RM800 juta tahun lalu disebabkan impak pandemik Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN