PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan membuat pengumuman khas berkaitan Kabinet Kerajaan Madani petang ini.
Beliau berkata, pengumuman berkenaan akan menyentuh usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus terpelihara.
Menurut Anwar, Kerajaan Madani komited untuk memastikan pentadbiran yang lebih berintegriti, cekap dan responsif selaras dengan keperluan semasa serta cabaran yang dihadapi negara.
Pengumuman khas itu dijangka memberi penjelasan lanjut mengenai hala tuju dan penambahbaikan dalam struktur serta fungsi Kabinet bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, hari ini.
Pertemuan antara Seri Paduka Baginda dengan Perdana Menteri itu berlangsung hari ini dan diadakan secara tertutup.
Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, sesi menghadap berkenaan merupakan sebahagian daripada urusan rasmi Seri Paduka Baginda bersama Ketua Kerajaan Persekutuan.
Semalam, akhbar ini melaporkan sekurang-kurangnya lima perubahan kedudukan jemaah menteri dalam rombakan kabinet yang dijangka berlaku dalam minggu ini.
Sumber terdekat Pejabat Perdana Menteri berkata, terdapat satu nama akan digugurkan daripada Kabinet dan diberi peranan lain.
Katanya, pengumuman tersebut dijangka paling lewat esok, namun ia pasti berlaku dalam masa terdekat. – UTUSAN










