Majlis Perumahan Mampu Milik Negara diaktifkan semula - Utusan Malaysia

Majlis Perumahan Mampu Milik Negara diaktifkan semula

REEZAL Merican Naina Merican meninjau kemudahan yang terdapat di salah sebuah rumah projek PPR Kuah, Langkawi, Kedah, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengaktifkan semula Majlis Perumahan Mampu Milik Negara dalam memastikan projek pembinaan 500,000 unit rumah dalam dapat dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, majlis perumahan tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob dan KPKT pula bertindak sebagai urus setia.

Katanya, sebanyak 15 agensi pelaksana berada dalam majlis perumahan tersebut termasuk kesemua kerajaan negeri iaitu membabitkan menteri besar dan ketua menteri.

“Kabinet bersetuju mengaktifkan semula Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang akan melihat keseluruhan projek pembinaan sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik tersebut,” katanya selepas melawat projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Anggerik Lestari di Kuah, di sini, hari ini.

Ismail Sabri ketika membentangkan usul RMK-12 di Dewan Rakyat baru-baru ini, meluluskan pembinaan 500,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun ini.

Menurutnya, kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM2.25 bilion untuk  bantuan perumahan kepada rakyat miskin dalam tempoh RMK-12.

Reezal Merican berkata, pembinaan rumah mampu milik itu diharap dapat memberi peluang kepada kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah.

“KPKT juga sentiasa meletakkan komitmen yang cukup tinggi dalam soal daya huni untuk keselesaan dan kesejahteraan penghuni,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dua projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuah dan Hulu Melaka melibatkan sebanyak 1,000 unit rumah dijangka mula dibuka pada suku pertama tahun depan.

Menurutnya, projek PPR Anggerik Lestari di Kuah membabitkan 500 unit setinggi 22 tingkat berharga RM138 juta.

“Projek PPR yang pertama di negara ini dilengkapi jalur lebar untuk kemudahan  capaian internet yang lancar kepada penduduk di perumahan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek PPR Indera Mahsuri pula mempunyai 500 unit setinggi 12 tingkat berharga RM125 juta. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya