Mahkamah Tinggi Singapura benarkan penangguhan hukuman mati D. Nagaenthran - Utusan Malaysia

Mahkamah Tinggi Singapura benarkan penangguhan hukuman mati D. Nagaenthran

D. Nagaenthran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Singapura hari ini membuat keputusan untuk membenarkan penangguhan dalam pelaksanaan hukuman mati ke atas D. Nagaenthran.

Perkara itu disahkan oleh peguam M. Ravi, yang mewakili Nagaenthran di Singapura.

“Mahkamah Tinggi baru sahaja memerintahkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu pendengaran rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Ravi sebelum itu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Singapura, See Kee Oon membuat keputusan itu ketika sesi pendengaran permohonan penangguhan pada pukul 4 petang tadi.

Pendengaran itu diadakan secara maya, dua hari sebelum hukuman dijatuhkan pada Rabu, 10 November 2021.

Nagaenthran, 33, berasal dari Ipoh, Perak, yang didakwa peguamnya merupakan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diarmorfin seberat 42.72 gram di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika melintasi sempadan Malaysia dan Singapura, dengan dadah itu ditemukan dilekatkan di pahanya kirinya.

Tertuduh kemudian dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, yang memperuntukkan hukuman mati terhadap mana-mana individu yang didapati menyeludup dadah melebihi 15 gram.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini berkata, proses rayuan melalui mahkamah sudah pun dibuat sehingga peringkat terakhir iaitu menerusi permohonan Pengampunan Presiden Singapura selaku ketua negara.

Bagaimanapun, permohonan itu telah ditolak secara rasmi pada 1 Jun 2020 lalu dan hukuman mati itu kekal dan akan dilaksanakan di Kompleks Penjara Changi, Singapura pada Rabu, 10 November 2021.

Sejak dijatuhkan hukuman mati, kes Nagaenthran mendapat perhatian meluas di seluruh dunia termasuklah Amnesty International, Human Rights Watch, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (FID) yang meminta Singapura supaya tidak melaksanakan hukuman mati tersebut, sebaliknya diberikan pengampunan.

Malah, Jaringan Asia bagi Anti Hukuman Mati (ADPAN) yang disertai 28 negara dari rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia dan Singapura berpendapat tertuduh hanya menjadi mangsa sindiket sebagai keldai dadah kerana memiliki IQ serendah 69 serta menghidap gangguan hiperaktiviti defisit perhatian, sekaligus dianggap sebagai OKU. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya