ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan membina laluan khas lorong basikal di kawasan tumpuan di bawah Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 bagi menggalakkan aktiviti mobiliti aktif seperti menunggang basikal.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, infrastruktur bagi kemudahan aktiviti berbasikal itu akan disediakan di pusat bandar, kawasan perumahan, sekolah dan sebagainya.
Katanya, ini bertepatan dengan dasar PPMJ 2030 bagi mewujudkan perancangan pengangkutan mampan antaranya melalui penekanan kepelbagaian mod pengangkutan seperti bas, rel, berjalan kaki dan basikal.
“Bagi menggalakkan aktiviti mobiliti aktif ini, PPMJ 2030 turut mencadangkan beberapa inisiatif seperti menyediakan tempat letak basikal di lokasi strategik seperti pusat komersial, kompleks kerajaan dan kawasan rekreasi.
“Selain itu, maklumat dan peta laluan pejalan kaki serta lorong basikal turut akan disediakan. Di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), garis panduan reka bentuk laluan basikal hendaklah disediakan agar semua cadangan pemajuan wajib menyediakan laluan pejalan kaki dan basikal, katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Cheo Yee How (PH-Perling) yang ingin tahu mengenai rancangan-rancangan atau pembinaan infrastruktur untuk memastikan keselamatan penunggang basikal yang dilihat semakin bertambah sempena Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, hari ini.
Mohd. Solihan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu berkata, amalan berbasikal dalam kalangan rakyat Malaysia pada ketika ini merupakan mod ‘mengikut trend’ yang diminati secara ikutan dan bukan sepanjang masa.
Katanya, kesedaran beriadah berbasikal semakin popular ketika ini dan tanpa sedar sebenarnya rakyat Malaysia yang beriadah berbasikal telah menyumbang sifar karbon atau sifar pencemaran. – UTUSAN










