Lelaki ditahan bersama rokok seludup bernilai RM2.85 juta - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan bersama rokok seludup bernilai RM2.85 juta

ROKOK seludup yang ditemukan dalam sebuah rumah di Changkat Jering, Taiping semalam. - UTUSAN/IHSAN POLIS MARIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menahan seorang lelaki dan merampas 21,210 karton rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai termasuk cukai kastam berjumlah RM2.85 juta di Changkat Jering, Taiping petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6 petang itu, hasil maklumat risikan dalam Op Kontraban, Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah Satu Kampung Acheh, di sini, menggeledah sebuah rumah di Changkat Jering dan menahan lelaki warga berumur 46 tahun kerana menyimpan sejumlah kotak yang mengandungi rokok putih dan kretek pelbagai jenis tanpa cukai.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, semua rokok itu dipercayai diperoleh dari Pulau Pinang untuk pasaran di Taiping.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di dalam rumah tersebut, sepasukan anggota PPM menemui rokok putih pelbagai jenis antaranya jenama John White sebanyak 6,550 karton dan rokok kretek jenama Gudang Garam dan L.A Bold sebanyak 2,710 karton. 

“Semua rokok ini ditemui dan berada di ruang bahagian dalam rumah dan di dalam stor rumah dengan anggaran nilai rampasan termasuk cukai kastam berjumlah RM1.25 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shamsol, pemeriksaan lanjut kemudian menemui sejumlah lagi rokok yang disimpan dalam sebuah lori seberat 10 tan yang tersadai dan dalam keadaan rosak di belakang rumah tersebut.

Jelasnya, hasil penggeledahan di dalam lori itu menemui rokok putih jenama John White dan John D-Blend sebanyak 7,800 karton serta rokok kretek jenama Gudang Garam, Nusantara dan L.A Bold sebanyak 4,150 karton rokok dengan anggaran nilai rampasan termasuk cukai kastam sebanyak RM1.59 juta.

Beliau memberitahu, lelaki warga tempatan itu direman selama lima hari bermula hari ini dengan suspek bersama barang diserah kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“PPM akan terus memerangi jenayah penyeludupan terutama pengedaran atau penjualan rokok tanpa cukai kastam dari masa ke semasa.

“Dengan penangkapan serta rampasan ke atas kes ini juga diharap dapat memberi impak positif dengan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyeludupan, pengedaran serta penjualan rokok seludup yang tiada cukai kastam pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN