KUBANG PASU: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan kejadian membaling ketulan batu ke arah kenderaan di jejantas Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara pada Isnin lalu ditahan di lokasi tersebut hari ini.
Suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan dalam keadaan mencurigakan berada di jejantas tersebut kira-kira pukul 1.45 petang
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Cawangan Pencegah Jenayah (CPJ) Balai Polis Jitra sebelum itu melihat suspek menunggang motosikal jenis Honda Wave berhenti di atas jejantas tersebut.
Menurutnya, anggota polis menghampiri suspek selepas melihatnya mengambil sesuatu di dalam motosikalnya dan hasil pemeriksaan, polis menjumpai dua ketul batu di dalam kenderaan tersebut.
“Hasil siasatan mendapati suspek mangaku telah terlibat dalam kejadian membaling batu dan atas jambatan lebuh raya seperti mana laporan polis yang telah dibuat sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini hari ini.
Rodzi berkata, berdasarkan siasatan, suspek mengakui melakukan perbuatan tersebut disebabkan tidak berpuas hati dan marah kepada pemandu-pemandu lori yang menghimpit motosikalnya sebelum ini.
Menurutnya, suspek juga mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah serta kes dadah dan hasil ujian air kencing terhadap suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
“Tangkapan dan rampasan barang kes telah dilakukan dan suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
“Suspek juga kemungkinan akan disiasat di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Pada Isnin lalu, seorang lelaki yang memandu kereta nyaris terbabas selepas seorang individu membaling batu ke arah kenderaannya di jejantas Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara-Selatan. – UTUSAN










