KUALA LUMPUR: Bajet 2022 perlu disemak semula kerana ia menelan peruntukan yang terbesar dalam sejarah negara.
Menjelaskan perkara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, peruntukan itu boleh dikurangkan supaya hutang negara pada masa depan dapat ‘diringankan’.
“Saya sedar wang yang banyak diperlukan bagi mengatasi krisis yang dihadapi oleh negara tetapi pada masa yang sama, kerajaan perlu berhati-hati supaya perbelanjaan kerajaan dikurangkan dan beban hutang tidak dihempas ke atas belakang generasi akan datang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas beliau, pengurangan itu boleh dibuat dalam bidang telekomunikasi, pertanian dan pendidikan.
Memberi contoh dalam sektor telekomunikasi diswastakan, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, teknologi terkini yang diambil kerajaan akan menelan berbilion ringgit untuk dibekal kepada pelanggan.
“Apa perlunya kerajaan terlibat dalam khidmat ini. Tentulah lebih baik diserah kepada syarikat telekomunikasi yang sekian lama membekalkan sistem komunikasi dalam negara,” katanya.










