Kronologi kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain

Kronologi kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain [DIKEMAS KINI]

ALLAHYARHAM Zulfarhan Osman Zulkarnain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh rakan sepengajian, Pegawai Kadet Laut,  Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.  Kesemua bekas pelajar itu  kini berusia 28 tahun.

Panel tiga hakim diketuai  Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian selepas menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sebelum ini dipinda oleh Mahkamah Tinggi kepada Seksyen 304(a) iaitu kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.

Berikut kronologi kes:

23 Julai 2024

Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana didapati membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

16 Mei 2024

Mahkamah menyampaikan keputusan terhadap rayuan 12 lagi bekas penuntut universiti sama yang dihukum penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

14 Mei 2024

Timbalan Pendakwa Raya, Solehah Noratikah Ismail selaku responden dalam rayuan silang ini berkata, dapatan hakim Mahkamah Tinggi menyatakan berlaku kecederaan terhadap Zulfarhan menunjukkan ia dilakukan oleh perayu-perayu ini.

Mahkamah mendengar rayuan silang 12 orang pelaku yang menyebabkan kecederaan kepada Allahyarham Zulfarhan.

————————

21 Mei 2017
Zulfarhan disoal siasat berhubung kehilangan komputer riba sebelum dibelasah beramai-ramai menggunakan seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju.

27 Mei 2017
Mangsa dibawa ke sebuah klinik swasta di Bandar Baru Bangi dan dibenarkan pulang.

31 Mei 2017
Mangsa dihantar ke sebuah kondominium di Bangi untuk berehat oleh dua pelajar UPNM.

1 Jun 2017
Saksi melihat Zulfarhan kaku sebelum dibawa ke Hospital Serdang dan disahkan meninggal dunia.

2 Jun 2017
Jenazah Zulfarhan diserahkan kepada keluarga dan dikebumikan di Johor.

14 Jun 2017
Enam penuntut UPNM dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman Zulkarnain.

12 November 2017
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pendakwaan untuk menggabungkan perbicaraan 19 penuntut UPNM yang didakwa membunuh, subahat bunuh dan mencederakan Zulfarhan.

29 Januari 2018
Perbicaraan bermula. Pihak pendakwaan memanggil 31 saksi memberi keterangan antaranya Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr. Salmah Arshad.

31 Julai 2019
18 penuntut UPNM dipanggil membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Seorang lagi, Muhammad Akmal Akif Alias dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mencederakan mangsa.

2 Oktober 2019
Kes pembelaan bermula. Seramai 20 saksi termasuk Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr. Rohayu Shahar Adnan memberi keterangan.

8 April 2021
Pembelaan menutup kes.

29 dan 30 September 2021
Penghujahan akhir kes pembelaan

2 November 2021
Keputusan akhir kes pembelaan.

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN