SEREMBAN: Sudahlah diugut kerana didakwa menjalankan kegiatan ‘mencuci wang, seorang kontraktor terpaksa berputih mata apabila pelaburan yang disertainya pada 15 Oktober lalu rupa-rupanya merupakan pelaburan tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani (gambar)berkata, mangsa yang berusia 54 tahun itu telah berkenalan dengan seorang wanita tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai Lilina Lim menerusi Facebook.
Menurutnya, wanita berkenaan telah menawarkan satu skim pelaburan dalam talian dan boleh mendatangkan keuntungan lumayan kepada mangsa.
“Mangsa yang percaya telah mendaftar menerusi satu dalam talian seperti diminta oleh Lilina Lim dan individu itu juga telah memberitahu kepada mangsa supaya membuat bayaran lebih tinggi bagi memperoleh taraf VIP dan mendapatkan keuntungan dengan lebih cepat.
“Percaya dengan tawaran itu, mangsa dan telah membuat pindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza iaitu Bernard Tapaling (162218782551- Maybank), Teoh Hoe Leong (13451046610 – Hong Leong Bank) dan Rinawati Zulki (511186364206- Maybank) bermula tarikh 15 hingga 31 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aibee berkata, selepas transaksi dibuat, mangsa tidak mendapat keuntungan seperti yang dijanjikan dan kemudiannya suspek telah menyamar sebagai pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram.
Suspek menyatakan mangsa telah melakukan kesalahan seperti mencuci wang dan diminta untuk membuat pembayaran sekiranya tidak mahu diambil tindakan.
“Mangsa juga diminta untuk membuat pembayaran lagi sekiranya mahukan semula wangnya yang telah dipindahkan sebelum ini.
“Oleh sebab itu, mangsa terus mempercayai individu terbabit dan membuat pindahan wang serta mengalami kerugian lebih kurang RM303,084. Mangsa yang menyedari dirinya telah tertipu segera membuat laporan di Balai Polis Rahang semalam,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










