KUANTAN: Jumlah kompaun tertunggak bayaran tempat letak kereta direkodkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sehingga kini mencecah lebih RM10 juta.
Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, ia disebabkan kedegilan sesetengah individu yang enggan membuat bayaran sehingga terdapat kenderaan mempunyai 500 kompaun tertunggak kerana kesalahan itu.
“Atas sebab itu, kita menaikkan kompaun (kesalahan gagal membayar kupon letak kereta) iaitu bermula RM30 dan jika mereka gagal membayar dalam masa 30 hari, jumlah kompaun menjadi RM300.
“Dengan langkah ini, alhamdulillah kadar pematuhan menunjukkan trend peningkatan sehingga 85 peratus sekali gus menyaksikan jumlah kutipan bayaran tempat letak kereta mencecah RM1.5 juta sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Makan Malam Bersama Media di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Hamdan berkata, terdapat lebih 20,000 tempat letak kereta di bawah seliaan MBK yang menggunakan kupon tempat letak kereta.
Menurutnya, selain menjadi sebahagian hasil untuk pelbagai usaha keindahan bandar raya itu, kutipan tempat letak kereta juga signifikan dalam memastikan penggunaan kawasan tempat letak kereta yang terkawal dan mencukupi.
“Tanpa dikenakan caj letak kereta, berkemungkinan ada individu sengaja meletak kereta dalam tempoh yang lama seterusnya menyukarkan individu lain yang mempunyai urusan untuk mendapat tempat letak kereta,” jelasnya.
Sementara itu katanya, meskipun menaikkan jumlah kompaun kepada individu yang gagal menyediakan kupon letak kereta, pihaknya masih terus mengekalkan kadar bayaran letak kereta yang rendah iaitu 65 sen sejam.
“Sebenarnya kadar yang kita kenakan adalah antara terendah kerana saya difahamkan di Kuala Terengganu sebanyak 85 sen sejam dan di Kota Bharu, Kelantan sebanyak RM1 sejam.
“Bagi memudahkan orang ramai, kupon dijual di merata-rata tempat dan kita juga menyediakan aplikasi dalam talian iaitu PahangGo untuk pembayaran tempat letak kereta,” katanya.










