Kes penipuan tawaran kerja catat kerugian lebih RM1j - Utusan Malaysia

Kes penipuan tawaran kerja catat kerugian lebih RM1j

AIBEE AB. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 78 kes penipuan tawaran kerja dikesan berlaku di Negeri Sembilan tahun ini membabitkan nilai kerugian melebihi RM1 juta sehingga 15 November.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, keseluruhan kerugian yang dicatatkan bagi kes berkenaan adalah sebanyak RM1,216,828.30.

Menurutnya, jumlah kes direkodkan pada tahun ini meningkat berbanding pada tahun lalu yang hanya mencatatkan satu kes dengan nilai kerugian sebanyak RM7,140.

“Antara faktor adalah banyak individu yang mahu mencari kerja disebabkan pandemik Covid-19 dan mendedahkan diri dengan penipuan dalam tawaran kerja di media sosial.

“Suspek akan menawarkan iklan kerja dalam talian seperti melalui Facebook, WhatsApp, Instagram dan mangsa yang mencari peluang pekerjaan atau tertarik untuk menambah pendapatan akan berhubung melalui WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata, mangsa akan diarahkan untuk membuat bayaran ke dalam akaun individu dan kebiasaannya pada peringkat awal, mangsa akan mendapat pulangan.

Bagaimanapun menurutnya, apabila sejumlah besar wang dimasukkan, suspek akan mula menghilangkan diri serta gagal dihubungi.

“Ini merupakan modus operandi terkini yang digunakan sindiket dalam memperdayakan mangsa dan berhati-hatilah dengan tawaran pulangan yang mudah serta besar.

“Jangan membuat sebarang bayaran sekiranya diarahkan untuk memasukkan bayaran ke mana-mana akaun individu kerana ia adalah akaun keldai,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya