SEPANG : Kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah bernilai RM8.1 juta menggunakan MasKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiada kaitan dengan kes penyeludupan 450 kilogram (kg) heroin ke Australia pada akhir bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata sindiket yang berjaya ditumpaskan hari ini adalah berbeza dari segi modus operandinya.
“Tak ada kaitan dengan kes 450 kg heroin sebelum ini, yang itu ia dihantar menggunakan pelabuhan tetapi bagi kes di MASKargo kali ini ia melalui lapangan terbang,” katanya pada sidang media, hari ini.
Tambahnya lagi, mengenai perkembangan kes tersebut, siasatan secara terperinci dijalankan dan perinciannya tidak boleh didedahkan.
“Ini bukan seperti kes ‘tangkap ayam’ atau tokan – hari ini kita dapat maklumat, hari ini kita tangkap. Kita boleh buat begitu tetapi tidak akan dapat (memberkas) secara holistik keseluruhan sindiket terbabit.
“Kes ini masih disiasat. Jika ada tangkapan (baharu) dalam kes ini, kita akan maklumkan dan ia maklumat (diperoleh) daripada pihak Australia,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Polis Persekutuan Australia (AFP) merampas dadah jenis heroin yang membabitkan penghantaran terbesar dalam sejarah negara itu bernilai kira-kira A$140 juta (RM431 juta).
Pihak berkuasa negara itu turut menahan seorang suspek lelaki warga Malaysia berhubung kes berkenaan, dan dadah terbabit dihantar dari Malaysia ke sebuah syarikat perniagaan di Melbourne.
AFP dilaporkan berkata, bekalan dadah 450kg atau seberat sebuah piano besar itu dikesan dalam kontena kapal yang diisytiharkan sebagai mengandungi jubin seramik.
Penghantaran itu tiba di Pelabuhan Melbourne pada 29 September lalu sebelum pegawai Pasukan Kawalan Sempadan Australia (ABF) yang memeriksa kontena terbabit menemui 1,290 bungkusan mengandungi heroin.
Suspek warga Malaysia itu sudah didakwa di Mahkamah Majistret Melbourne pada 15 Oktober lalu dan kini berada dalam tahanan reman sebelum dijadualkan menghadapi perbicaraan pada Januari tahun depan. -UTUSAN ONLINE