Menteri Pertahanan Iran ucap terima kasih kepada China

Menteri Pertahanan Iran ucap terima kasih kepada China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Menteri Pertahanan Iran, Aziz Nasirzadeh mengadakan lawatan ke China dalam perjalanan luar negara pertamanya sejak pertempuran 12 hari dengan Israel yang turut melibatkan Amerika Syarikat (AS).

Nasirzadeh turut menyampaikan penghargaan kepada China atas pemahaman dan sokongannya terhadap pendirian sah Iran, menurut laporan Xinhua.

Beliau turut menyatakan harapan agar China terus membela keadilan dan memainkan peranan yang lebih besar dalam mengekalkan gencatan senjata serta meredakan ketegangan serantau.

Pegawai China sebelum ini mengecam serangan luar biasa Israel pada 13 Jun ke atas Iran yang membunuh beberapa pemimpin tentera utamanya serta serangan AS terhadap tiga loji nuklear republik Islam itu.

China juga menyokong gencatan senjata dan mengkritik campur tangan Washington sebagai tamparan hebat terhadap rejim bukan proliferasi nuklear antarabangsa.

Nasirzadeh merupakan antara sembilan menteri pertahanan yang menghadiri perhimpunan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), menurut media rasmi China.

SCO ialah kumpulan keselamatan serantau yang diketuai China dan Russia, yang semakin berpengaruh ketika kedua-dua negara itu berusaha membentuk blok antarabangsa alternatif untuk negara-negara yang tidak disokong AS.

Perhimpunan dua hari itu berlangsung serentak dengan sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di The Hague, di mana Presiden AS, Donald Trump berkata, Washington akan mengadakan pertemuan dengan Iran minggu depan untuk membincangkan perjanjian nuklear baharu.

Perhimpuan di bandar pesisir pantai Qingdao itu merupakan sebahagian daripada acara di bawah pengerusi bergilir SCO oleh China, menonjolkan peranan penting Beijing di peringkat antarabangsa walaupun negara itu tidak campur tangan secara langsung dalam konflik Iran-Israel.

Menteri Pertahanan China, Dong Jun, tidak secara langsung menyentuh tentang konflik tersebut dalam ucapannya tetapi menggambarkan Beijing sebagai negara yang menawarkan pendekatan berbeza terhadap keselamatan global.

“Unilateralisme dan perlindungan kepentingan sendiri semakin meningkat, manakala tindakan hegemonik dan membuli telah menggugat ketenteraman antarabangsa dengan buruk sekali.

“Amalan ini menjadi punca huru-hara dan bahaya terbesar yang melanda masyarakat global,” kata Dong.

Beliau menyeru negara-negara anggota SCO termasuk Russia, India, Iran, Pakistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan dan Belarus supaya meningkatkan koordinasi ketenteraan serta mempertahankan keadilan antarabangsa dan kestabilan global.

Negara-negara yang hadir turut menyatakan kesediaan kuat untuk memperkukuh dan membangunkan kerjasama ketenteraan.

Sebagai sekutu penting Iran dari segi diplomatik dan ekonomi, Beijing mengukuhkan kerjasama dengan Teheran dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk melalui latihan ketenteraan laut bersama.

Pegawai China juga secara konsisten membantah sekatan AS terhadap Iran dan mengkritik tindakan Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran pada 2015.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN