PETALING JAYA: Kerajaan memberi komitmen dan jaminan supaya amalan menghendap atau stalking dijadikan sebagai salah satu bentuk jenayah di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, usaha menjadikan kegiatan berkenaan sebagai satu jenayah bermula sejak 2019 yang menyaksikan penubuhan satu Jawatankuasa Anti Stalking.
Katanya, kertas dasar dan cadangan pindaan undang-undang dijangka dibentangkan di peringkat Jemaah Menteri bulan depan seterusnya dibentangkan di Parlimen selepas mendapat persetujuan Kabinet.
“Sejak awal tahun lalu, draf pindaan undang-undang atau pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah telahdisediakan oleh jawatan kuasa ini yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat bagi membincangkan status kemas kini mengenai usaha menjenayahkan menghendap.
Mesyuarat itu diurus setia oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan dihadiri oleh agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Negara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli-ahli akademik.
“Dalam mesyuarat ini, tiga pemandiri menghendap telah berkongsi pengalaman mereka sebagai mangsa yang masih tidak diberikan perlindungan disebabkan jurang yang wujud dalam undang-undang sedia ada.
“Selain itu, NGO Women’s Aid Organization (WAO) telah menyerahkan memorandum yang telah ditandatangani oleh 52 kumpulan dan petisyen yang disokong lebih 8,500 orang setakat ini untuk menggesa kerajaan menjenayahkan menghendap segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE










