Kehidupan 4.5 juta penduduk Kabul tertekan

Kehidupan 4.5 juta penduduk Kabul tertekan

Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkfli Wahijan sebak ketika menyantuni anak-anak yatim di sebuah rumah kebajikan di Kabul, Afghanistan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Suasana bilik yang ketika itu memuatkan kira-kira 20 orang menjadi hening dan sepi. Hanya kedengaran suara Muhamad Amir Khalil Abdul Rahman, 8, mengalunkan lagu nasyid.

Antara maksud bait-baik lirik nasyid yang iramanya sangat melankolik itu ialah:
Aku tak punya ayah
Aku tak punya ibu
Aku tiada kehidupan
Aku tiada apa-apa

Walaupun tidak faham lirik nasyid itu pada mulanya, suara Muhamad Amir dan melodinya yang sungguh menyentuh hati sudah cukup membuatkan sebahagian daripada kami bergenang air mata.

Muhamad Amir mendendangkan nasyid mengenai hidupnya sebagai anak yatim piatu.

Momen itu berlaku ketika 13 peserta misi bantuan kemanusiaan ke Afghanistan melawat sebuah rumah anak yatim di tengah bandar Kabul pada Isnin.

Peserta misi membabitkan sukarelawan daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Muslim Care Malaysia, Yayasan Amal Malaysia dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma).

Tidak keterlaluan jika Muhamad Amir saya jadikan perlambangan kedukaan dan ketidaktentuan yang dirasai majoriti penduduk Kabul yang populasinya mencecah 4.5 juta orang.

Jika dibandingkan dengan suasana Herat sebagaimana saya ceritakan semalam, Kabul lebih terserlah kesukaran dan tekanan hidup penduduknya.

Penjaja di kaki lima seperti ini menjadi pemandangan biasa di Kabul.

Malam pertama di tengah ibu kota Afghanistan itu, ketika kami berjalan kaki dari hotel ke kedai makan, tiga kanak-kanak berusia dalam lingkungan lapan ke 10 tahun mengekori kami, mengemis meminta wang dan simpati.

Tersentuh melihat keadaan mereka, saya memberikan 50 Afghani bersamaan lebih kurang RM2.50 kepada setiap seorang. Akibatnya, lebih ramai yang muncul, termasuk seorang wanita berusia 30-an yang mendukung bayi.

Dia mengekori saya sehingga lebih 300 meter. Saya jadi serba salah, bukan tidak kesian, tapi kalau diberi wang, saya bimbang akan lebih ramai lagi yang
muncul entah dari mana.

Di kiri dan kanan jalan, berserakan penjaja menjual makanan, pakaian atau menawarkan khidmat seperti mengilat dan membaiki kasut. Semua mereka berkeadaan daif dan mengundang simpati.

Dalam lawatan ke pusat latihan kemahiran wanita yang dikendalikan NGO Ehsas pula, kami diminta menyumbangkan dana untuk melaksanakan projek kelas jahitan.

Dua puluh wanita Afghanistan terpaksa berhimpit di dalam bilik yang kecil ketika mengikuti kelas jahitan.

Sedih melihat 20 peserta membabitkan remaja wanita, isteri dan ibu tunggal duduk berhimpit-himpit di dalam sebuah bilik kecil sahaja.

Namun, itu bukan masalah mereka. Apa yang mereka perlukan ialah lebih banyak mesin jahit untuk membolehkan mereka melatih lebih ramai wanita untuk menjana pendapatan sendiri.

Dua pelatih yang berusia belasan tahun dengan petah berkongsi cita-citanya untuk menyambung pengajian mereka yang tertangguh akibat masalah kewangan selepas berlaku pertukaran kerajaan pada Ogos lalu.

Apa yang saya kongsikan ini baru dua kisah kesukaran hidup penduduk Kabul pada ketika ini. Ada kesinambungannya pada penulisan akan datang.

Yang pasti, semakin lama berada di Afghanistan semakin banyak kisahnya yang tersirat, secara perlahan-lahan terungkai. Bukan untuk sekadar bacaan, tapi untuk iktibar, pengajaran dan tindakan dengan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan.

Tuan Asri Tuan Hussein adalah Penasihat Media Muslim Care Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya