Ke mana perginya caj beg plastik 20 sen? - Utusan Malaysia

Ke mana perginya caj beg plastik 20 sen?

Beg plastik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan pengguna mempertikai caj 20 sen dikenakan pasar raya atau kedai-kedai serbaneka berikutan penggunaan beg plastik yang dilihat hanya menguntungkan sebelah pihak.

Ini kerana beg plastik sepatutnya disediakan secara percuma kepada pelanggan dan bukannya dikenakan caj atas alasan mendukung kempen Tak Nak Beg Plastik yang dilancarkan kira-kira 10 tahun lalu.

Malah, hasil kutipan daripada pelanggan itu tidak pun disalurkan kepada persatuan-persatuan alam sekitar atau pengguna, sebaliknya status masih menjadi tanda tanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, caj 20 sen itu begitu besar yang boleh dilihat sebagai satu eksploitasi kepada para pengguna yang terlupa atau tidak membawa beg kitar semula.

Malah katanya, caj yang dikenakan itu juga menjadi persoalan iaitu ke mana caj itu disalurkan sama ada ke tempat yang betul atau sebaliknya.

“Ini pun eksploitasi kerana kita tahu beg plastik itu sebenarnya hanya berharga beberapa sen sahaja, tetapi dijual pada 20 sen.

“Sudah dua tahun kita bawa isu caj 20 sen ini, tetapi langsung tidak dapat apa-apa jawapan. Jadi sehingga kini kita pun tak tahu 20 sen itu disalurkan ke mana.

“Ini akan menjadi kali ketiga pertanyaan Cassa dan saya tidak terkejut jika tiada apa-apa jawapan, jadi lebih baik dibekukan atau dihentikan terus caj plastik itu kerana tak bawa apa-apa kebaikan kepada kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Dr. Jacob, pihaknya bagaimanapun tidak menafikan matlamat utama kempen itu adalah supaya wang yang diterima itu digunakan untuk projek-projek kebajikan.

Katanya, setiap perniagaan akan mengumpul wang itu dan mempunyai sistem canggih untuk menunjukkan kepada pihak berkuasa bahawa wang yang dicaj itu dimasukkan dalam satu tabung berdikari khas.

“Namun, amat mendukacitakan apabila apa yang dirancangkan dan dari segi visi itu tidak tercapai.

“Cassa selalu merayu supaya caj itu ditarik balik kerana tidak mencapai apa yang dirancang, malah kita juga tidak tahu sama ada caj itu dikenakan oleh tiap-tiap beg plastik atau sekali caj sahaja.

“Jika tidak mencapai visi yang diperlukan semasa dilancarkan, maka lebih baik kita tutup dan bekukan kempen ini,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Kedah Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, caj 20 sen yang dikenakan itu juga boleh disifatkan tidak relevan kerana pengguna tetap menggunakan beg plastik.

Oleh itu katanya, perkara itu dilihat tidak mencapai arah tuju dasar utama kempen itu dalam mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Pada mulanya kami menyokong atas alasan alam sekitar untuk elakkan pengguna guna plastik secara berlebihan, jadi caj 20 sen itu dapat mengelakkan pengguna minta plastik tambahan dan bawa beg sendiri.

“Namun, lama kelamaan kita lihat pengguna tak bawa beg sendiri dan menggunakan beg plastik di pasar raya, maka pengurangan (penggunaan beg plastik) itu tidak berlaku,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×