Judi dalam talian: Kondo diserbu, tujuh pekerja ditahan - Utusan Malaysia

Judi dalam talian: Kondo diserbu, tujuh pekerja ditahan

SET komputer antara barangan dirampas polis dalam serbuan dekat sebuah unit dalam kondominium dekat Kota Kemuning di Shah Alam, Selangor, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah kondominium di Kota Kemuning di sini, diserbu pasukan polis Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas dikesan menjadikan salah sebuah unit sebagai tempat pengoperasian perjudian dalam talian, petang semalam.

Dalam serbuan terhadap unit yang disewa itu, seramai tujuh lelaki berusia antara 20-an  hingga 30-an ditahan dan beberapa peralatan digunakan untuk perjudian dirampas seperti empat unit pemprosesan (CPU) dan lapan monitor pelbagai jenama, dua modem serta sebuah laptop.

Pegawai Turus D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Selangor, Deputi Superintenden Zuhairee Mohamad Rashid berkata, seramai 14 anggota termasuk pegawai dari JSJ D7 Shah Alam terlibat dalam serbuan berkenaan.

“Ketika serbuan, kesemua tujuh suspek yang bekerja di premis terbabit dilihat sedang leka mempromosi permainan perjudian dalam talian dan tiada yang cuba lari. Aktiviti perjudian berkenaan menyasarkan pelanggan tempatan.

“Hasil risikan kediaman telah  beroperasi sejak setahun lalu dan menjadikan lelaki tempatan sebagai operator perjudian dengan bayaran gaji sebanyak RM2,000 ke RM2,500 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sindiket itu menggunakan laman sesawang www.Club66 bagi tujuan menganjur, mengurus dan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian seperti  jenis Kissme, mega888, pussy888 serta rolex.

Jelas Zuhairee, hasil siasatan mendapati, sindiket terbabit mempunyai  kira-kira 1,000 pelanggan dan dianggar sehari urus niaga transaksi  RM30,000 ke RM40,000 sehari dalam urusan perjudian online history transaction club66.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, selain barangan yang dirampas, polis menemukan beberapa akaun bank yang disyaki milik orang lain untuk dijadikan sebagai keldai bagi melakukan transaksi melibatkan perjudian.

“Cara urusan dijalankan, transaksi dibuat secara dalam talian yang mana terdapat beberapa akaun disyaki akaun keldai dijadikan tempat untuk tujuan memasukkan wang dan memindahkannya kepada pelanggan pelanggan tempatan.

“Sindiket terbabit turut menggunakan aplikasi WhatsApp, Telegram dan WeChat untuk mempromosi perjudian dalam talian itu,” jelasnya.

Turut terlibat dalam operasi berkenaan adalah Pakar Judi dan Pakar Forensik bagi analisis peranti elektronik dalam serbuan berkenaan yang tamat kira-kira pukul 11 malam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya