JBPM tumpu lokasi hotspot banjir, tanah runtuh - Utusan Malaysia

JBPM tumpu lokasi hotspot banjir, tanah runtuh

MOHAMMAD Hamdan Wahid memakaikan Pingat Cemerlang Bomba kepada Wartawan Utusan Malaysia, Maisarah Sheikh Rahim (kanan) pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM di Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan khususnya di lokasi panas banjir dan tanah runtuh di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya akan mendapatkan data berkaitan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai langkah persediaan.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk bencana tidak dijangka seperti kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands dan banjir lumpur di Gunung Jerai baru-baru ini.

“Kita juga akan memberi tumpuan kepada loji janakuasa elektrik yang berada di kawasan rendah kerana ia boleh mengundang risiko jika banjir melanda.

“Kita juga mahu penduduk setempat berkongsi situasi paras air dan sungai di kawasan masing-masing bagi memudahkan pemantauan dan persediaan sekiranya bencana banjir melanda,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga turut meletakkan kit kecemasan lemas dikenali sebagai Life-Saving Appliances (LISA) di 62 lokasi panas khususnya sebagai peranti awal kecemasan sekiranya berdepan banjir, lemas dan kepala air. 

Mohammad Hamdan berkata, ketika ini, LISA diletakkan di lokasi hotspot dan berisiko bencana seperti sungai, tali air, jeram, kawasan air terjun dan tepi pantai.

Menurutnya, kit awal kecemasan itu mengandungi tali, kayu, jaket keselamatan, pelampung dan peti pertolongan cemas selain turut berfungsi menghantar isyarat kecemasan kepada JBPM.

“Apa yang kami bimbang adalah orang ramai lebih suka mandi di kawasan bukan hotspot dan di kawasan yang tempat lebih privasi dan jauh pada orang ramai. 

“Justeru, saya ingin nasihatkan orang ramai yang ingin berkunjung di kawasan air terjun, jeram dan sungai supaya mendapat nasihat daripada penduduk setempat dan penjaga kawasan itu,” katanya.

Katanya, JBPM juga sudah bersiap sedia menghadapi bencana banjir sejak September lalu termasuk dari segi kemudahan bot penyelamat, pengangkutan darat, logistik dan keaanggotaan.

Jelasnya lagi, jika keadaan bencana makin kritikal, pihaknya akan membekukan cuti pegawai dan anggota sebagai langkah persediaan selain bekerjasama dengan pasukan keselamatan lain.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pihaknya menjangkakan bencana banjir tahun ini sama seperti yang berlalu tahun lalu.

“Kami juga tetap bersedia dengan sebarang kejadian dan bencana yang berlaku di luar jangkaan termasuk banjir lumpur seperti yang berlaku di Ampang dua hari lalu,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN