Ivermectin tidak sesuai rawat pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Ivermectin tidak sesuai rawat pesakit Covid-19

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan Ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada kerana ia tidak mengurangkan risiko penyakit berkenaan tahap teruk.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hasil dapatan kajian Ivermectin (I-TECH) juga selari dengan kajian berskala besar seperti Ivercor-Covid-19 dari Argentina dan Together dari Brazil yang tidak menyokong penggunaan rutin ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

Beliau berkata, pasukan kajian I-TECH bercadang menghantar data kajian tersebut untuk diterbitkan di dalam jurnal ‘peer-reviewed’ bagi memberi maklumat tambahan kepada kajian ivermectin termasuklah, meta-analysis.

Katanya, analisis keselamatan melaporkan bahawa kejadian kesan sampingan adalah tiga kali lebih kerap berlaku di dalam kumpulan IVM berbanding kumpulan SOC; di mana kebanyakannya adalah kes cirit birit.

“Diharapkan dapatan kajian tempatan ini dapat memberi pencerahan kepada Pengamal Perubatan di Malaysia dan juga kepada orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

“Pengamal Perubatan diingatkan untuk tidak mengesyorkan penggunaan ivermectin termasuklah berkongsi pengiklanan mahupun penjualan secara haram ivermectin dengan tujuan merawat Covid-19 sehingga bukti saintifik yang lebih kukuh tersedia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, dapatan ini susulan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Institut Kesihatan Negara (NIH) yang mengumumkan hasil dapatan kajian Ivermectin (I-TECH) ke atas 500 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dengan kategori dua atau tiga dengan kajian klinikal open-label randomised trial tersebut menilai keberkesanan rawatan lima hari ivermectin (0.4mg/kg/hari) berserta penjagaan standard (kumpulan IVM), berbanding dengan hanya penjagaan standard (kumpulan standard of care – SOC) berdasarkan garis panduan KKM untuk pesakit Covid-19 di 20 hospital kerajaan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 MAEPS 2.0.

Katanya, kajian percubaan klinikal tersebut telah dijalankan pakar perubatan penyakit berjangkit dan pakar perubatan yang terlibat secara aktif dalam
pengurusan Covid-19 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), di bawah NIH.

“Hasil utama kajian I-TECH adalah untuk melihat sama ada pemberian ubat ivermectin pada minggu pertama pesakit mengalami gejala penyakit Covid-19 berupaya untuk mencegah kemerosotan penyakit kepada tahap yang teruk (kategori empat atau lima), iaitu dalam kalangan pesakit berumur 50 tahun dan ke atas, serta mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi

“Menurut penyelidik utama kajian I-TECH merangkap Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Raja Permaisuri Bainun,
Ipoh, Perak, Dr. Steven Lim Chee Loon bahawa tiada perbezaan ketara didapati dari segi kemasukan ke ICU, penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom,
parameter ujian darah dan resolusi imbasan X-Ray dada di antara kedua-dua kumpulan tersebut. Manakala, kebarangkalian untuk pulih dari gejala sepenuhnya pada hari ke lima penyertaan di antara kumpulan IVM dengan SOC adalah hampir sama, di mana tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik (p=0.77),” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga trend pengurangan mortaliti dalam tempoh 28 hari bagi kumpulan IVM berbanding dengan penjagaan standard, namun trend pengurangan ini tidak mencapai keputusan
statistik yang signifikan (OR 0.30 [95% CI 0.08-1.11]; p=0.09).

“Malah, Profesor Dr. Lai Nai Ming dan Profesor Madya Dr. Karuthan Chinna dari Taylor’s School of Medicine yang menyediakan analisis statistik secara bebas, kajian I-TECH tidak dapat mengesahkan dapatan bahawa penggunaan ivermectin di hospital dapat mengurangkan
kematian dalam tempoh 28 hari, berbanding dengan penjagaan standard sahaja.

“Ini kerana jumlah kematian adalah amat kecil (13/490) dan ini seterusnya menyebabkan penilaian yang terhad ke atas hasil dapatan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya