Isu hukuman mati warga Malaysia, Saifuddin utus surat ke Singapura - Utusan Malaysia

Isu hukuman mati warga Malaysia, Saifuddin utus surat ke Singapura

D. Nagaenthran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar terus memantau perkembangan kes warga Malaysia, D. Nagaenthran yang bakal dihukum mati atas kesalahan dadah di Singapura.

Malahan, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau sendiri turut telah mengutus surat kepada rakan sejawatannya, Dr. Vivian Balakrishnan berhubung kes tersebut.

“Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di republik itu sentiasa memantau isu ini sejak kes tersebut dilaporkan pada 2009 lalu,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

Individu berkenaan ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika memasuki negara tersebut atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diarmorfin seberat 42.72 gram.

Tertuduh kemudian dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010 lalu di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973.

Proses rayuan melalui mahkamah, ujar Saifuddin, turut sudah pun dibuat sehingga peringkat terakhir iaitu menerusi permohonan Pengampunan Presiden Singapura selaku ketua negara.

Bagaimanapun, permohonan itu juga telah ditolak secara rasmi pada 1 Jun 2020 lepas dan Nagaenthran, 33, bakal dihukum mati di Kompleks Penjara Changi pada 10 November ini.

“Saya selepas itu menerima surat daripada Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) melalui Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang memaklumkan kes ini,” tambah beliau.

Organisasi bebas yang berpusat di Hong Kong, China itu, ujarnya, memohon bantuan Wisma Putra agar dapat membangkitkan kes tersebut secara diplomatik dengan kerajaan Singapura.

ADPAN yang disertai sejumlah 28 negara dari rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia dan Singapura, berpendapat bahawa tertuduh hanya menjadi mangsa sindiket sebagai ‘keldai dadah’.

Apatah lagi, Nagaenthran juga disahkan hanya ada tahap kecerdasan atau IQ serendah 69 dan dianggap Orang Kurang Upaya kerana menghidap gangguan hiperaktiviti defisit perhatian.

Menerusi surat terakhir kepada keluarganya pada 26 Oktober lalu, dia memaklumkan akan digantung pada Rabu depan, sesuatu yang agak pelik kerana lazimnya ia dibuat pada Jumaat.

Kes tersebut mendapat perhatian banyak negara kerana keluarganya yang miskin di Ipoh, Perak tidak mampu datang ke republik itu ekoran kerenah birokrasi ketat untuk warga Malaysia.

Dia terpaksa membawa dadah heroin itu disebabkan ugutan oleh peminjam wang haram di Johor bagi melunaskan hutang bapanya menjalani pembedahan jantung sebanyak RM500. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya