Suami hilang dipercayai terjun Sungai Kelantan - Utusan Malaysia

Suami hilang dipercayai terjun Sungai Kelantan

KELUARGA mangsa menunggu operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh pasukan bomba di tebing Sungai Kelantan, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang suri rumah terkedu dan hanya mampu menangis apabila suaminya dilaporkan hilang di Sungai Kelantan dan dipercayai terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini hari ini.

Perasaan hiba Sik Saripah, 56, tidak tertanggung kerana hanya motosikal jenis Modenas Kriss dan sepasang selipar milik Low You Kian, 65, dijumpai di jambatan tersebut, kira-kira pukul 7 pagi ini.

Ketika ditemui pemberita, Sik memberitahu, suaminya yang mengadu sakit di bahagian paha dan sepatutnya menjalani pemeriksaan di hospital hari ini, keluar dari rumah kira-kira pukul 5 pagi untuk membeli makanan.

Katanya, mereka sekeluarga buntu dan terkejut memandangkan You Kian hilang tanpa petunjuk yang jelas, selain tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

“Ketika saya sedang tidur, anak kami menyedari ayahnya keluar rumah dengan menunggang motosikal. Suami saya itu mengadu lapar dan dia tidak boleh tidur.

“Selepas dia keluar, hujan pula. Kami bimbang dia terperangkap dalam hujan lebat dan tidak dapat balik. Saya hanya tahu kejadian menimpa suami selepas polis datang ke rumah,” katanya di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Mohd. Suhaimi Ali berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai penemuan motosikal dan selipar di atas jambatan pada pukul 7.28 pagi ini.

Katanya, selepas pemeriksaan lanjut, polis menjumpai dompet mengandungi MyKad mangsa yang ditinggalkan di bawah tempat duduk motosikal itu.

“Hasil penemuan MyKad, polis bergegas ke rumahnya di Jalan Hamzah untuk mendapat kepastian keluarga mangsa. Isterinya yang dibawa ke lokasi kejadian telah mengesahkan barangan ditemukan milik mangsa.

“Polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut sama ada mangsa memang benar-benar terjun dari jambatan itu atau hilang di tempat lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN