Integriti harus diberi keutamaan - Raja Muda Perlis

Integriti harus diberi keutamaan – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada Hamzah Ibrahim di Kampung Jejawi Dalam, Arau, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Integriti perlu dijadikan sebagai komitmen dalam memikul dan menjalankan sesuatu tugas sama ada pada peringkat individu ataupun organisasi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bagi individu, penghayatan konsep integriti bererti seseorang pekerja perlu menunjukkan keselarasan di antara apa yang dikatakan dengan apa yang dilakukan. 

Titah baginda, mereka perlu bertindak menurut prinsip moral, etika dan undang-undang, mengutamakan kepentingan umum melebihi kehendak dirinya sendiri dan melakukan kerja dengan kualiti yang bermutu dan tepat.

“Manakala di peringkat organisasi pula, penghayatan integriti perkhidmatan terjelma dalam bentuk perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan, proses kerja dan pematuhan terhadap amalan terbaik.

“Setiap individu bertanggungjawab terhadap pembentukan integriti diri mereka. Individu bermoral apabila melakukan tindakan yang betul secara konsisten dan sebati dengan dirinya. 

“Oleh itu, adalah sangat penting untuk membentuk ‘mentaliti kelas pertama dalam tindakan’ dalam diri masing-masing dengan nilai moral yang baik melalui kebiasaan dan latihan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) secara tunai, beras fidyah serta bekalan makanan kepada Hamzah Ibrahim, 58, di Kampung Jejawi Dalam, Arau, di sini semalam.

Hamzah merupakan seorang peniaga pasar malam yang selama hampir dua tahun ini tidak dapat berniaga. 

Dia yang dalam senarai penerima bantuan zakat fitrah MAIPs tinggal bersama isteri yang kakinya terpaksa dipotong sebelum ini akibat kencing manis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN