DUN Selangor: Kos barang dijangka terkesan seawal September akibat perang

DUN Selangor: Kos barang dijangka terkesan seawal September akibat perang

Kos barang akibat perang
AMIRUDIN Shari menjawab pertanyaan tentang kesan akibat konflik Asia Barat kepada Selangor pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Ke-15 2026 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kenaikan kos dijangka antara 15 hingga 25 peratus dalam pelbagai sektor termasuk perubatan dijangka berlaku September atau Oktober tahun ini susulan kesan daripada konflik di Asia Barat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketika ini kesan sebenar krisis antara Israel-Amerika Syarikat dengan Iran itu masih belum dirasai walaupun berlaku kenaikan harga petrol dan diesel serta gangguan terhadap bekalannya.

Beliau berkata, peningkatan itu adalah dapatan daripada sebuah bank antarabangsa yang melaporkan kadar peningkatan dijangkakan kepada semua sektor barangan.

“Kadar peningkatan yang dijangkakan kepada semua sektor barangan adalah di antara 15 hingga 25 peratus termasuk sektor perubatan dan itu lebih kritikal.

“Sebab itu saya percaya, kerajaan negeri akan meneliti tentang perkembangannya sebagaimana saya sebut titik panas sebenar belum sampai, mungkin akan sampai sekitar bulan September atau Oktober nanti,” katanya pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang meminta penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung kesan krisis tersebut kepada negeri ini.

Jelas Amirudin, kerajaan negeri memerlukan perancangan rapi bagi menangani kesan kepada negeri ini yang dijangka paling besar menerima impak dengan lebih 7.3 juta penduduk.

Aspek perbelanjaan negeri yang bergantung kepada perubahan bekalan dan harga minyak seperti pembinaan, penyelenggaraan infrastruktur seperti jalan, serta stok penimbal makanan asas seperti beras dan protein akan dirasai.

“Dengan kekurangan bekalan, kos operasi akan melambung sekiranya mitigasi tidak dirancang di peringkat awal secara rapi,” ujarnya.

Khamis lalu, beliau yang juga ADUN Sungai Tua mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dengan peruntukan sebanyak RM130.42 juta bagi menangani kesan akibat konflik di Asia Barat.

Rangsangan tersebut dirangka bagi mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat, mengawal inflasi, meningkatkan pengangkutan awam dan memberi bantuan kepada golongan paling terkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN