Hijrahkan Laguku, 8 artis bersaing rebut gelaran juara - Utusan Malaysia

Hijrahkan Laguku, 8 artis bersaing rebut gelaran juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Memperkukuhkan lagi kedudukan sebagai sebuah stesen televisyen berkonsep dakwah, TV AlHijrah tampil membawakan sebuah program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti TV yang diberi judul Hijrahkan Laguku.

Pertaruhan berani ini dibuat setelah melihat kepada keperluan metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Keluarga Malaysia, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, program Hijrahkan Laguku ini adalah sebuah rancangan pertandingan hiburan Islamik yang menggabungkan lapan penyanyi lama dan baru dalam industri hiburan tanah air.

“Mereka ini akan menyampaikan mesej dakwah menerusi lirik lagu yang digubah hingga akhirnya salah seorang daripada mereka berjaya bergelar juara pertandingan.

“Kami yakin, ia bakal menjadi fenomena yang mampu membentuk masyarakat serta mencetuskan natijah untuk pembangunan jiwa ummah. Malah, saya percaya, simbiosis kukuh antara manusia dan seni muzik memang tak dapat dinafikan.

“Manusia secara fitrah mudah tertarik kepada bunyi-bunyian yang menyenangkan, lirik lagu yang mempesona serta seni persembahan yang memberi kedamaian,”katanya.

Namanzee berkata demikian semasa ditemui di majlis sidang media program tersebut yang berlangsung di sebuah hotel di Hotel Oakwood di sini baru-baru ini.

Menurut Namanzee lagi, program Hijrahkan Laguku juga dilihat mempunyai kekuatan untuk memenuhi kehendak jiwa manusia yang sukakan kepada dunia muzik namun diserikan dengan elemen hiburan Islamik serta wasilah dakwah kontemporari.

Dalam pada itu, pihaknya juga mengumumkan penyertaan lapan artis tanah air yang akan bertanding dalam program tersebut yang mengangkat tema Journey Back To Him.

Mereka ialah Datuk Nash Lefthanded, Iwan Shahman, Mark Adam, Pangeran Adam (PG Adam), Zaf VE, Shahir Zawawi, Zack Kool dan Rahmad Mega.

Pemilihan artis yang menyertai pertandingan ini dibuat berdasarkan beberapa kriteria dengan antara yang utama ialah menerusi kisah penghijrahan mereka yang unik serta mampu mendorong penonton untuk menjadi khalifah Allah yang terbaik.

Turut diambil kira ialah bakat, aura, karisma serta kekuatan mereka dalam bidang nyanyian.

Hijrahkan Laguku akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari studio penyiaran digital TV AlHijrah setiap Sabtu, pada jam 9 malam bermula pada tanggal 20 November ini.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati menerusi laman sesawang TV AlHijrah termasuk di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN